Menjelang acara pelancaran iPhone 14 yang bakal berlangsung tidak berapa lama lagi, semakin banyak desas-desus yang diperkatakan dan terkini datangnya dari penganalisis yang sering dipercayai, Ming-Chi Kuo.
iPhone 14 Pro dan iPhone 14 Pro Max dikatakan akan menampilkan sensor kamera ultra-lebar baharu yang mampu menangkap 1.4µm piksel. Hasilnya, lebih banyak perincian dan lebih tinggi kualiti imej dalam keadaan kurang pencahayaan dapat dihasilkan. Sebagai perbandingan, iPhone 13 Pro dan iPhone 13 Pro Max menangkap 1.0µm piksel melalui kamera ultra-lebarnya.
Sensor pengimejan CMOS baharu ini juga akan disokong oleh motor lingkaran suara (voice coil motor, VCM) baharu dan modul kamera kompak baharu. Kesemua komponen-komponen ini juga dikatakan 70% lebih mahal berbanding yang digunakan pada iPhone 13 Pro dan iPhone 13 Pro Max sekarang.
(3/4)
I predict two iPhone 14 Pro models' ultra-wide cameras will upgrade to 1.4µm (vs. iPhone 13 Pro's 1.0µm). CIS (CMOS image sensor), VCM (voice coil motor), and CCM (compact camera module) have a significant unit price increase in this upgrade, with about 70%, 45%, and 40%.— 郭明錤 (Ming-Chi Kuo) (@mingchikuo) August 30, 2022
Menurut Kuo lagi, Sony dijangka akan membekalkan sensor CMOS manakala Minebea dan Largan pula membekalkan VCM. LG pula dikatakan akan menjadi pembekal untuk modul kamera kompak utama.
Selain penambahan modul ultra-lebar baharu ini, iPhone 14 Pro dan iPhone 14 Pro Max ini juga dijangka akan membawakan kamera utama 48MP yang menggunakan binning piksel 4-dalam-1. Imej yang dihasilkan dijangka menawarkan lebih banyak warna yang tepat dan prestasi yang lebih baik bagi fotografi dalam keadaan kurang pencahayaan. Kamera hadapan untuk kedua-dua model iPhone 14 Pro berkenaan juga dikatakan akan menerima pembaharuan dalam bentuk autofokus dan apertur yang cerah f/1.9.