Acara pelancaran produk Apple baharu akan berlangsung pada 8 September ini menerusi jemputan media yang dihantar awal pagi tadi. Di dalam acara tersebut, Apple dijangka akan berkongsikan maklumat lanjut mengenai iPhone dan Apple Watch baharu.
Jemputan dengan tema “Far Out” tersebut akan diadakan di Steve Jobs Theater, Kampus Apple di Cupertino. Ia merupakan acara pelancaran produk besar pertama yang diadakan di teater berkenaan sejak pandemik melanda. Dalam pada masa yang sama, acara tersebut juga akan distrimkan secara dalam talian pada hari tersebut.
Kemungkinan besar siri iPhone 14 akan menjadi tumpuan utama acara tersebut dengan empat model dijangka akan diperkenalkan:
- iPhone 14 6.1-inci
- iPhone 14 6.7-inci (mungkin Plus atau Max)
- iPhone 14 Pro 6.1-inci
- iPhone 14 6.7-inci Pro Max
Tiada tanda-tanda kemungkinan iPhone Mini baharu akan diperkenalkan menerusi acara tersebut yang mungkin mengecewakan sesetengah peminat.
Penambahbaikan baharu pada Apple iPhone 14
Perubahan besar dijangka hadir pada model Pro dengan desas-desus mengatakan tiada lagi takuk untuk kamera hadapan dan ia akan digantikan dengan paparan berpenebuk lubang berbentuk pil.
Apple juga dijangka akan menambah ciri paparan sentiasa-terpasang (always-on display, AOD) yang eksklusif untuk iPhone Pro. Ia juga dijangka akan membawakan wijet skrin berkunci iOS 16 baharu yang akan dipaparkan walaupun skrin telah ditutup.
Selain itu, pelancaran iPhone baharu ini juga dijangka buat pertama kalinya Apple akan menawarkan cip pemprosesan siri A baharu hanya pada iPhone Pro sahaja.
Untuk kameranya pula, kamera utama pada Pro dijangka menerima peningkatan kepada sensor 48MP. Manakala kesemua model iPhone 14 dikatakan akan mempunyai kamera hadapan dengan ciri fokus auto diaktifkan.
Tema “Far Out” ini juga mungkin memberikan bayangan kepada penambahan-penambahan lain seperti kamera telefoto pada iPhone berdasarkan tweet yang dikongsikan oleh Naib Presiden Kanan Pemasaran Apple Greg Joswiak.
Far out. September 7. #AppleEvent 💫 pic.twitter.com/bw5Lxf3eQ9
— Greg Joswiak (@gregjoz) August 24, 2022
Tiga model Apple Watches baharu juga mungkin akan diperkenalkan di dalam acara Apple Far Out ini. Apple Watch Series 8 dijangka mirip dengan Series 7 dengan penambahan baharu seperti sensor mengesan suhu badan. Apple Watch SE yang ditambah baik juga dikatakan sedang diusahakan dengan penggunaan cip yang lebih pantas. Manakala model yang lebih tinggi khusus untuk atlet sukan lasak dijangka menawarkan skrin yang lebih besar dan bateri tahan lebih lama.
Apple juga dikatakan sedang mengusahakan AirPods Pro dan iPad. Malah, Mac Pro baharu juga pernah dikatakan akan diperkenalkan. Oleh itu, terdapat kemungkinan besar peranti-peranti berkenaan mungkin akan diperkenalkan di dalam acara Apple Far Out yang berlangsung pada 8 September ini.