Utama Mobile Aplikasi iPay88 dilaporkan mengalami pencerobohan sistem; Data kad pengguna mungkin terkesan

iPay88 dilaporkan mengalami pencerobohan sistem; Data kad pengguna mungkin terkesan

634
0
ipay88-logo

Gerbang pembayaran dalam talian tempatan iPay88 pada hari ini telah mengeluarkan kenyataan mengenai insiden ancaman siber yang berlaku pada 31 Mei 2022 yang mengakibatkan pencerobohan sistem. Pihak iPay88 memaklumkan kemungkinan data peribadi pengguna seperti maklumat kad mungkin telah dikompromi (compromised) oleh penyerang.

Pihak syarikat segera menjalankan siasatan pada tarikh insiden berkenaan dan turut membawakan pakar keselamatan siber bagi membendung ancaman tersebut. Proses pembendungan (containment) telah berjaya dilaksanakan dan tiada sebarang aktiviti mencurigakan dikesan sejak dari 20 Julai 2022.

Sungguhpun pihak syarikat menyatakan data kad pengguna berkemungkinan telah dikompromi, jumlah pengguna yang terkesan daripada insiden tersebut bagaimanapun tidak dinyatakan.

Hal ini amat membimbangkan kerana sejumlah kedai dalam talian tempatan, e-wallet, kad kredit, perkhidmatan Bayar Nanti Pakai Lekas (BNPL) dan bank-bank bergantung kepada gerbang pembayaran dalam talian ini.

iPay88 memastikan langkah pencegahan dan kawalan baharu telah dilaksanakan bagi memperkasakan sistem keselamatannya terhadap serangan-serangan baharu. Selain itu, pihak syarikat juga telah memaklumkan kepada institusi-institusi keawangan yang terlibat berkenaan isu ini. Pihak syarikat juga turut menyatakan siasatan masih lagi dijalankan dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan.ipay88-trust matters

Untuk makluman, gerbang pembayaran dalam talian tempatan ini diintegrasikan dengan perkhidmatan perbankan dalam talian yang disediakan oleh kebanyakan bank-bank tempatan seperti CIMB, HongLeong, Maybank, OCBC, RHB, AffinBank dan banyak lagi. Ia juga digunakan di dalam perkhidmatan-perkhidmatan lain seperti e-wallet iaitu GrabPay, Boost, Touch ‘n Go eWallet, WeChatPay, ShopeePay dan Setel, kad kredit (VISA, Mastercard, American Express dan UnionPay). Untuk perkhidmatan pembayaran dalam talian bukan tempatan pula, ia meliputi PayPal dan G Pay.

Apa pun, pengguna yang menggunakan atau pernah menggunakan gerbang pembayaran iPay88 dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan melaporkan kepada pihak berkuasa jika berlaku keganjian pada akaun masing-masing.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.