Google telah mengumumkan rancangannya untuk melancarkan tiga rantau Cloud baharunya di Asia Pasifik. Malaysia disenaraikan sebagai salah satu daripada rantau tersebut dengan dua lagi daripadanya Thailand dan New Zealand.
Maklumat mengenai lokasi di mana Google Cloud berkenaan akan ditempatkan dan bila ia mula beroperasi buat masa ini masih lagi belum dinyatakan. Pembinaan infrastruktur berkenaan jika disiapkan kelak akan menjadikan jumlah rantau Google Cloud di seluruh dunia mencecah 37 buah. Buat masa ini Google memiliki 34 buah rantau Cloud dengan 11 daripadanya terletak di Asia Pasifik.
Rantau perkomputeran awanan merujuk kepada lokasi spesifik di mana pelanggan penyedia perkhidmatan boleh membina sumber awanan mereka sendiri. Ini membantu pelanggan berkenaan mengekalkan kependaman yang rendah (low latency), ciri keselamatan yang lebih baik, residensi data dan pematuhan piawaian.
Menurut pengumuman Google tersebut, Asia Pasifik merupakan pasaran yang laris untuk ruang perkomputeran awanan. IDC mengunjurkan perbelanjaan keseluruhan perkhidmatan awanan di rantau ini (tidak termasuk Jepun) mencecah US$282 juta (~RM1.257 billion) menjelang 2025. Pertambahan rantau Google Cloud di Asia Pasifik bakal membuka lebih banyak peluang untuk mewujudkan tranformasi dan inovasi digital.