iPad Air dan iPad Pro baharu telah ditunda beberapa kali pelancarannya dengan kali terakhir dijadualkan akan dilancarkan sekitar hujung Mac dan April. Kini, kedua-dua tablet keluaran Apple berkenaan akan dilancarkan pada 6 Mei 2024.
Mark Gurman dari Bloomberg memetik sumber yang menyatakan pelancaran model-model iPad baharu itu akan dilancarkan pada tarikh tersebut. Para peniaga juga dilaporkan bersiap sedia untuk menerima bahan pemasaran produk baharu tersebut sekitar minggu itu.
Gurman juga menjelaskan penundaan tarikh pelancarannya tersebut disebabkan oleh “skrin iPad baharu yang kompleks”. Hal ini kerana, iPad Air baharu kelak julung kalinya memperkenalkan varian skrin 12.9-inci yang lebih besar dengan model Pro pula akan diperkenalkan dengan skrin OLED.
Apple juga dilaporkan sedang mengusahakan model-model baharu berdasarkan iPad asas dan juga model mini baharu. iPad asas baharu berkenaan dikatakan versi yang dikurangkan kosnya dengan ciri yang mengikut iPad generasi ke-10 yang dilancarkan pada 2022. Manakala model mini baharu pula akan menerima naik taraf pemprosesan.