Selain melancarkan iPad Pro baharu dengan pemprosesan M2, Apple turut melancarkan iPad baharu Generasi ke-10. Tablet baharu keluaran Apple ini hadir dengan rekaan baharu yang lebih seiring dengan rekaan iPad model-model lain.
Rekaan bucunya kini lebih bersegi berbanding membulat seperti sebelumnya. Apple juga tidak lagi menyertakan butang ‘Home’ dan menerusi iPad baharu ini, ciri keselamatan biometrik cap jari Touch ID telah dialihkan ke butang kuasanya. Oleh kerana butang Home tidak lagi disediakan, iPad keluaran tahun 2022 ini memiliki skrin yang lebih besar melalui paparan Liquid Retina 10.9-inci.
Isi Kandungan
iPad Generasi Ke-10 guna Pemprosesan Apple A14 Bionic
Selain itu, tablet ini juga menggunakan pemprosean Apple A14 Bionic yang sebelum ini pernah digunakan pada iPhone 12 dan iPad Air generasi ke-4.
https://www.youtube.com/watch?v=yUKRkPKg5_U
Apabila dibandingknan dengan pemprosesan A13 Bionic yang digunakan pada iPad Generasi Ke-9 tahun lepas, Apple A14 Bionic membawakan peningkatan prestasi CPU 20% dan juga peningkatan prestasi 10%. Neural Engine 16-teras di dalam pemprosesan ini juga membantu keupayaan teknologi pembelajaran mesin iPad baharu ini sehingga 80%.
Apple turut membuat perubahan pada kamera hadapan tablet ini dengan kini ditempatkan pada sisi atas apabila diposisikan pada kedudukan lanskap. Keupayaan kamera hadapan tersebut bagaimanapun masih lagi sama dengan menampilkan satu kamera ultra lebar 12MP f/2.4 dengan sokongan Centre Stage.
Pada bahagian belakang iPad Generasi Ke-10 ini turut disediakan sebuah kamera 12MP f/1.8. Ia mampu mengambil video 4K 60fps dan juga rakaman gerak perlahan 1080p 240fps.
iPad baharu ini juga membawakan penambahbaikan rangkaian dengan menyertakan sokongan Wi-Fi 6 yang kini mampu meningkatkan kelajuan muat turun sehingga 1.2Gbps. Turut disediakan sokongan Bluetooth 5.2 dan juga rangkaian 5G bagi model LTE. Pun begitu, tidak dapat dipastikan bilakah iPad keluaran 2022 ini nanti mampu menikmati sokongan rangkaian 5G di dalam Malaysia.
iPad Generasi Ke-10 ini juga dilengkapkan dengan port USB-C untuk memudahkan pengguna ketersambungan secara fizikal dan juga pengecasan. Bagaimanapun jika anda menggunakan Apple Pencil, anda perlu membeli adapter USB-C untuk mengecasnya yang kini berharga RM55 di kedai dalam talian Apple Malaysia.
Harga iPad (2022) Generasi Ke-10 di Malaysia
Di Malaysia, iPad Generasi Ke-10 keluaran tahun 2022 dijual pada harga seperti berikut:
- iPad Gen Ke-10 64GB – RM2,099 (Wi-Fi) / RM2,849 (LTE/5G)
- iPad Gen Ke-10 256GB – RM2,849 (Wi-Fi) / RM3,599 (LTE/5G)
Sama seperti iPad Pro M2, tarikh kemasukan tablet terkini dari Apple ini ke pasaran Malaysia masih lagi belum diketahui.