iOS 18 dikatakan akan menjadi kemaskini perisian terbesar di dalam sejarah iPhone, menurut ruangan pojok istimewa di Bloomberg, Power On oleh Mark Gurman. Beliau turut merancang untuk berkongsikan maklumat yang lebih terperinci berkenaan ciri dan perubahan pada iOS 18 kelak.
Beberapa ciri baharu yang dijangka mungkin hadir dalam kemaskini iOS 18 pada September ini termasuklah:
Sokongan RCS
November tahun lalu Apple telah mengumumkan sokongan piawaian permesejan rentas platform RCS di dalam aplikasi Messages iPHone bermula lewat tahun 2024. Kemungkinan ciri tersebut akan dimasukkan ke dalam iOS 18 berdasarkan jangka masa yang dinyatakan tersebut.
Sokongan RCS diramalkan dapat membawakan penambahbaikan pada aplikasi Messages di antara iPhone dengan peranti Anroid:
- Foto dan video beresolusi lebih tinggi
- mesej audio
- petunjuk penaip
- resit membaca
- permesejan melalui Wi-Fi di antara iPhone dengan peranti Android
- kumpulan borak yang ditambah baik termasuk sokongan untuk pengguna iPhone meninggalkan perbualan yang turut disertai pengguna Android
- Enkripsi yang dipertingkatkan lebih baik dari SMS
Ciri-ciri berkenaan sudah pun tersedia untuk perbualan di antara iPhone ke iPhone dengan melalui iMessage. Kebanyakan ciri tersebut juga telah disediakan di dalam aplikasi permesejan pihak ketiga seperti WhatsApp dan Telegram. Sokongan RCS untuk iPhone akan mengembangkan ciri tersebut ke dalam aplikasi Messages.
Siri yang lebih pintar
Gurman menjangkakan iOS 18 akan menawarkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bergeneratif yang meningkatkan kaedah Siri dan aplikasi Messages mengajukan soalan dan melengkapkan ayat. Beliau turut memaklumkan Apple telah meneroka ciri AI bergeneratif untuk aplikasi lain di dalam platformnya seperti Apple Music, Pages, Keynote dan Xcode.
Portal pula melaporkan Apple sedang merancang untuk menggabungkan model bahasa besar ke dalam Siri bagi membolehkan pengguna mengautomasi tugasan-tugasan yang kompleks. Ciri tersebut akan melibatkan integrasi yang lebih mendalam dengan aplikasi Shortcuts. Laporan berkenaan juga menyatakan ciri ini dijangka akan diterbitkan di dalam kemaskini perisian iPhone pada 2024, yang mungkin bermaksud iOS 18.
AI bergeneratif memuncak popularitinya pada 2022 apabila OpenAI menerbitkan ChatGPT, bot borak yang boleh memberikan respon kepada soalan dan juga prompt-prompt lain. Google dan Microsoft juga menerbitkan bot borak pada tahun lalu sebagai sebahagian dari trend perlumbaan teknologi kecerdasan buatan (AI) masa kini. Bot borak (chatbot) dilatih menggunakan model bahasa besar (large language model) untuk membolehkannya memberikan respon seperti manusia.