Prestasi untuk pemprosesan Intel Core i9-11900K pada perisian penanda aras CPU-Z dilaporkan telah tertiris. Maklumat berkenaan siri CPU Generasi Ke-11 Rocket Lake-S ini merupakan yang terbaru telah tertiris ke warga maya.
Menurut laporan dari Videocardz, CPU-Z telah menyenaraikan prestasi ujian bebenang tunggal bagi pemprosesan Intel Core i9-11900K.
Bagi pemprosesan aras tinggi siri Rocket Lake-S berkenaan telah mencatatkan markah 719 mata dengan catatan kelajuan klok 4.7GHz pada kesemua terasnya. Menariknya, markah tersebut dicatatkan dengan CPU berkenaan dioperasikan pada tetapan stoknya.
Selain itu, perincian berkenaan turut menunjukkan Intel Core i9-11900K berkenaan telah dipasangkan pada papan induk ASUS ROG Maximus XII Extreme. Papan induk tersebut merupakan papan induk mercu ASUS yang berasaskan cipset Z490 yang boleh disesuaikan ke belakang dengan Rocket Lake-S melalui kemaskini firmware.
Rocket Lake-S dijangkakan menjadi CPU generasi terakhir yang dibina berasaskan nod proses 14nm. Ianya bakal digantikan dengan proses pembuatan baharu 10nm Enhance SuperFIN yang digunakan untuk menghasilkan CPU mudah alih Tiger Lake.