Utama Mobile Aplikasi Lebih dari 500,000 orang telah mendaftar mendapatkan Vaksin COVID-19 menerusi MySejahtera

Lebih dari 500,000 orang telah mendaftar mendapatkan Vaksin COVID-19 menerusi MySejahtera

132
0

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin telah mendedahkan seramai 505,565 orang telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin COVID-19 menerusi aplikasi MySejahtera. Kenyataan ini dibuat menerusi ciapan di akaun rasmi Twitter beliau sekitar petang tadi.

Pendaftaran menerusi MySejahtera telah pun mula dibuka sejak semalam selepas aplikasi berkenaan menerima kemaskini terbarunya, versi 1.0.28. Kemaskini berkenaan telah menambahkan modul baharu yang dinamakan Vaksinasi COVID-19.

Selain dari mendaftar menerusi aplikasi berkenaan, anda juga boleh mendaftar menerusi laman web rasmi Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) dan juga melalui talian hotline bermula 5 Mac 2021. Pendaftaran secara manual melalui kaunter akan dibuka di klinik-klinik kesihatan awam dan hospital tidak berapa lama lagi bagi memudahkan masyarakat di luar bandar menerima akses vaksin ini.

Tarikh dan lokasi vaksinasi akan diberikan dua minggu lebih awal dari sebelum penerimaan suntikan vaksin. Peringatan juga akan diberikan menerusi MySejahtera dan juga melalui panggilan telefon dan SMS.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (NCIP) telah pun dirasmikan hari ini dengan Perdana Menteri menjadi individu pertama menerima vaksin COVID-19 dari Pfizer-BioNTech.

Khairy Jamaluddin turut menggesa orang ramai supaya segera mendaftar penerimaan vaksinasi terutamanya bagi penduduk di kawasan zon merah.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.