Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menyeru syarikat e-hailing di Malaysia untuk memperluaskan fungsi perkongsian kereta (carpool).
Langkah proaktif ini disarankan bagi membantu pengguna mengurangkan kos pengangkutan. Ia usulan krisis bahan api global yang berpunca daripada serangan ketenteraan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran.
Kementerian Pengangkutan (MOT) menegaskan pendekatan yang lebih fleksibel perlu diperkenalkan oleh penyedia perkhidmatan bagi mencapai keseimbangan antara kelangsungan industri dan kebajikan pengguna. Pengenalan pilihan carpool bukan sahaja dapat menjadikan perkongsian perjalanan lebih efisien, malah ia mampu menawarkan kadar tambang yang lebih rendah dan berpatutan kepada penumpang.
Menurut Anthony Loke, langkah mengaktifkan ciri carpool pada aplikasi e-hailing boleh dilaksanakan dengan pantas. Ini kerana beberapa penyedia perkhidmatan sudah pun mempunyai infrastruktur tersebut.
“Ini adalah satu contoh yang kita harap boleh menjadi model kepada semua pihak dan agensi, bahawa dalam menghadapi krisis ini, kita mesti mengambil langkah proaktif,” kata beliau ketika berucap pada perhimpunan bulanan kementerian.
Beliau turut menambah bahawa dasar serta peraturan kerajaan perlu kekal tangkas dalam situasi ini. Namun ia sama sekali tidak akan berkompromi dengan aspek keselamatan mahupun pematuhan undang-undang sedia ada.
Kerajaan sedang meneliti secara terperinci kesan krisis tenaga global ini, terutamanya dari sudut keselamatan bekalan dan kestabilan ekonomi negara. Pengguna disarankan untuk merancang perjalanan dengan lebih bijak dan memanfaatkan ciri-ciri teknologi yang ditawarkan oleh aplikasi e-hailing bagi mengurangkan beban kewangan harian.








