Utama Tablet Infinix Infinix Zero Flip secara rasminya memasuki pasaran Malaysia; Berharga RM2,999

Infinix Zero Flip secara rasminya memasuki pasaran Malaysia; Berharga RM2,999

300
0

Infinix secara rasminya telah melancarkan Zero Flip, telefon pintar boleh lipat gaya katup pertama keluarannya di Malaysia. Berbeza dengan model-model yang diperkenalkan oleh Samsung dan Xiaomi, harga yang ditawarkan Infinix lebih mampu milik.

Telefon pintar boleh lipat gaya katup ini didatangkan dengan satu pilihan konfigurasi sahaja – RAM 8GB dan storan 512GB. Boleh didapati dengan pilihan warna hitam dan merah jambu, Zero Flip dijual pada harga RM2,999 di ShopeeLazada, dan TikTok Shop. Setiap pembelian akan didatangkan dengan sebuah pengering rambut secara percuma selagi stok masih ada.

Skrin boleh lipat Infinix Zero Flip merupakan paparan AMOLED LTPO 6.9-inci beresolusi 1080p dengan kadar penyegaran semula 120Hz dan kecerahan puncak 1,400 nits. Untuk skrin luarannya pula adalah panel AMOLED 1,056 x 1,066 piksel 3.64-inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz, kecerahan puncak 1,100 nits dan perlindungan Corning Gorilla Glass 2. Untuk ketahanan pula, telefon pintar ini tidak mempunyai penarafan IP untuk kerintangan air dan debu.

Di dalamnya telefon pintar boleh lipat gaya katup ini menggunakan pemprosesan MediaTek Dimensity 8020. Ia menggunakan bateri berkapasiti 4,720mAh yang menyokong pengecasan berwayar 70W dan pengecasan berbalik 10W.

Dari segi fotografinya, ia mempunyai kamera utama 50MP dengan OIS, kamera ultra-lebar 50MP pada bahagian skrin luarannya, dan sebuah kamera 50MP pada skrin dalamannya. Untuk perisian, ia menggunakan XOS 14.5 berasaskan Android 14 dengan sokongan kemaskini sehingga Android 16 dan kemaskini keselamatan selama tiga tahun.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.