Utama Android vivo Vivo Y100 5G secara rasminya disahkan akan dilancarkan di Malaysia

Vivo Y100 5G secara rasminya disahkan akan dilancarkan di Malaysia

97
0

vivo baru-baru ini telah mengesahkan telefon pintar baharunya, vivo Y100 5G akan dilancarkan ke pasaran Malaysia tidak lama lagi. Menurut laman web rasminya, spesifikasi telefon pintar berkenaan sama dengan jenis yang dilancarkan di pasaran Indonesia Januari lalu.

vivo Y100 5G menawarkan paparan AMOLED 6.67-inci beresolusi 1080p dengan kadar penyegaran semula 120Hz dan kecerahan puncak 1,200 nits. Selain itu, ia juga menyediakan pengimbas cap jari terbina bawah skrin.

Turut disediakan dua slot kad nano SIM dengan sokongan kad mikroSD dan pembesar suara stereo. Telefon pintar dengan penarafan kerintangan air dan debu ini juga hadir dengan dua pilihan warna Purple Leather dan Crystal Black.

Di dalamnya, vivo Y100 5G menggunakan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 4 Gen 2 dengan RAM 8GB dan storan 256GB. Ia juga menyediakan bateri berkapasiti 5,000mAh dengan sokongan pengecasan 80W melalui USB-C.

Telefon pintar peringkat pemula ini juga didatangkan dengan antaramuka Funtouch 14 melalui Android 14 dengan sokongan ketersambungannya pula terdiri daripada NFC, dwi-jalur Wi-Fi dan Bluetooth 5.0.

Untuk fotografi, di belakangnya disediakan dwi kamera dengan kamera utama 50MP dan kamera ultra lebar 8MP. Di hadapannya pula disediakan sebuah kamera 8MP.

vivo setakat ini masih lagi belum mengumumkan tarikh pelancaran dan harga untuk Y100 5G di pasaran Malaysia. Berdasarkan harga jualannya di Indonesia, telefon pintar ini berharga 3,899,000 Rupiah (~RM1,180).

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.