Amerika Syarikat kini sedang giat memutuskan sebarang hubungan denga Huawei termasuk melakukan sekatan peningkatan kemajuan teknologi syarikat dari China berkenaan.
Undang-undang terbaru yang dikuatkuasakan mengkehendaki mana-mana syarikat yang menggunakan alatan atau rekaan dari A.S. perlu mendapatkan kebenaran berurusniaga dengan Huawei. Perkara ini turut tertakluk dengan syarikat-syarikat multinasional lain seperti TSMC, syarikat pengeluar cip berpangkalan di Taiwan.
TSMC merupakan pengeluar yang menghasilkan kebanyakan pemprosesan dan kelengkapan selular untuk digunakan pada peranti-peranti Huawei.
Pengerusi TSMC Mark Liu, dalam satu kenyataannya menyebut TSMC mematuhi peraturan terbaru ini dengan tidak lagi mengambil tempahan baharu dari Huawei sejak 15 Mei lalu. Penghantaran terakhir ke Huawei akan dilakukan pada 14 September ini. Beliau bagaimanapun tidak menyatakan sama ada TSMC akan membuat permohonan untuk menjalankan urusniaga dengan Huawei di masa akan datang.
Sekatan urusniaga dengan Huawei ini dijangka tidak memberi kesan besar terhadap TSMC. Pembangunan cip-cip berteknologi binaan 7nm, 5nm, dan 3nm keluaran TSMC telah menarik minat pemain industri lain seperti AMD dan NVIDIA. Malahan, Apple turut dilaporkan berminat menjalinkan kerjasama untuk mengeluarkan peranti berasaskan ARM untuk Mac.
Harapan Huawei untuk kekal berdaya saing di masa hadapan kelihatan suram memandangkan TSMC saban tahun menghasilkan sebilangan besar kelengkapan untuk Huawei termasuk pemprosesan Kirin yang digunakan pada telefon pintar.
Pengeluar-pengeluar pemprosesan lain seperti Intel, Samsung dan GlobalFoundries sudah tidak lagi berurusan dengan Huawei atas faktor sekatan yang dikenakan oleh A.S. Melainkan jika syarikat-syarikat berkenaan membuat permohonan menjalankan urusniaga dengannya, Huawei kini hanya mampu bergantung dengan pengeluar kecil-kecilan di China.
Mei lalu Huawei dilaporkan telah membelanjakan seabnyak $23 billion untuk simpanan komponen-komponen penting termasuk pemprosesan dan cip-cip lain. Jualan Huawei dijangkakan mampu bertahan untuk tempoh selama satu atau dua tahun lagi dan sepanjang tempoh berkenaan Huawei perlu mencari jalan penyelesaian jangka panjang.