HONOR Magic V5 telah diketemukan di dalam pangkalan data Geekbench dengan pemprosesan Snapdragon 8 Elite “Leading Version”. Versi ini menggunakan dua teras perdana (prime core) pada 4.47GHz, berbanding kebiasaan 4.32GHz.
Salah satu daripada nombor model yang dikongsikan dikaitkan dengan Magic V5. Satu lagi merupakan MBH-AN10 yang turut didapati di dalam persijilan CMIIT yang mengesahkan kapasiti baterinya 6,100mAh.
Magic V5 didakwa sebagai telefon pintar paling nipis dan ringan oleh salah seorang eksekutif HONOR. Bagaimanapun, tiada perincian mengenai sejauh mana tahap kenipisan dan juga keringanannya setakat ini.
Kad markah Geekbench menunjukkan HONOR Magic V5 dilengkapkan dengan RAM 16GB dan dioperasikan oleh Android 15. Buat masa ini Magic V5 diramalkan akan dilancarkan sekitar bulan ini, namun tiada maklumat lanjut diberikan oleh pihak HONOR berhubung perkara ini.















