Samsung mengacah varian Ultra baharu yang akan menjadi sebahagian daripada siri Galaxy Z Fold 7, yang dijangka akan diperkenalkan pada tahun ini. Bagaimanapun, tidak banyak maklumat mengenai telefon pintar boleh lipat baharu ini.
Iklan acah ini turut menyertakan animasi pendek yang kelihatan menampilkan model Ultra. Ia menunjukkan sebuah telefon pintar boleh lipat yang amat nipis dengan bucu yang lebih melengkung.
Agak sukar untuk membuat telahan sama ada versi ini lebih besar daripada model asas. Namun mengambil kira sejarah Samsung dengan jenama Ultra, kemungkinan ia lebih besar berbanding model asas.
“Melalui perkakasan peneraju industri, prestasi tercanggih, dan integrasi AI lancar dioptimasikan untuk bentuk boleh lipat, ia merupakan sesuatu yang pengguna jangkakan dari Galaxy Ultra,” menurut pengumuman Samsung.
“Dan apabila ia dibuka, ia berubah – ke dalam bentuk hab hiburan yang lebih imersif, ruang kerja yang lebih besar, atau mesin berbilang tugasan berkuasa, kini diperkasakan oleh ciri-ciri Galaxy AI lebih berkuasa direka khusus untuk bentuk boleh dilipat.”
Secara ringkas, Ultra dijangka memuatkan teknologi yang lebih maju, dan sejumlah ciri-ciri Galaxy AI. Cuma beza saiznya dengan Fold standard masih lagi belum diketahui. Samsung masih lagi belum mengesahkan tarikh acara Unpacked besar kedua pada tahun ini yang dijangka berlangsung pada Ogos 2025.
Perlu diambil maklum, model Ultra ini bukanlah telefon pintar tri-lipatan yang didesas-desuskan dengan nama Galaxy G Fold. Peranti yang dikatakan bakal menyaingi Huawei Mate XT dikatakan akan dilancarkan sekitar awal 2026.