Telefon pintar kelas permulaan terbaru dari Honor, Honor 8A mula dijual di pasaran tempatan bermula pada hari ini dengan harga saranan RM499. Meneruskan kesinambungan dari Honor 7A, telefon pintar ini telah dilancarkan di Malaysia pada 8 Januari lalu bersama-sama Honor 10 Lite.
Dari segi rekaan luarannya, Honor 8A menampilkan ciri rekaan luarannya yang tidak jauh beza dengan Honor 7A. Ia hanya dibezakan pada rekaan takuk bercorak titisan air pada bahagian hadapannya dan juga paparannya yang kini berukuran 6.09-inci.
Menggunakan cipset MediaTek Helio P35, Honor 8A menggunakan antaramuka EMUI 9.0 yang berasaskan Android 9 Pie. Selain itu, telefon pintar ini juga menyediakan RAM 3GB dan storan dalam 64GB.
Honor 8A juga menawarkan kamera berlensa tunggal, 13MP dengan aperture f/1.8. Manakala kamera hadapannya pula adalah sama dengan HONOR 7A sebelum ini yang menawarkan kamera 8MP dengan aperture f/2.0.
Maklumat lanjut dan pembelian Honor 8A boleh dibuat melalui laman web rasmi Honor Malaysia.