Grab telah mengemaskini struktur komisyennya untuk menyelaraskannya dengan peraturan baru yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pengangkutan. Beberapa penambahbaikan turut disediakan dengan tujuan memberi manfaat untuk penumpang dan juga pemandu platform perkongsian kereta ini.
Melalui pengumuman yang dibuat menerusi laman rasminya, Grab menyatakan pihaknya menurunkan kadar komisyen dari 25 peratus kepada 20 peratus bagi setiap perjalanan.
Bagaimanapun, penurunan kadar komisyen ini hanya terhad kepada pemandu-pemandu Grab yang menggunakan fungsi auto-terima (Auto-Accept, AA) sahaja. Pemandu yang tidak menggunakan fungsi ini masih lagi kekal dengan kadar komisyen sedia ada, iaitu 25 peratus.
Bagi meningkatkan tahap penggunaan fungsi AA dikalangan pemandunya, Grab turut melakukan beberapa perubahan. Antaranya, pemandu perlu menghidupkan fungsi AA jika ingin mendapatkan insentif-insentif lain seperti Hourly Guarantees dan Flexi Incentives.
Fungsi AA adalah berasaskan algoritma yang akan melakukan padanan secara automatik di antara pemandu dan penumpang dalam satu-satu masa. Pihak Grab yakin bahawa algoritma yang digunapakai pada fungsi AA ini akan sentiasa mendapatkan padanan terbaik yang bakal memanfaatkan pemandu-pemandunya.
Kenaikan tambang waktu puncak bagi penumpang di Lembah Klang yang diumumkan oleh pihak syarikat perkongsian kenderaan ini tentunya memberikan kesan terhadap penumpang. Cuma tidak dapat diketahui berapakah kadar kenaikan yang akan dikenakan kelak.
Selain itu, para pemandu Grab juga diberikan pampasan jika pengguna yang membuat tempahan di muncul di lokasi atau membatalkan tempahan pada minit-minit terakhir.
Sumber berita diperoleh dari Grab via RinggitPlus