Home Mobile Aplikasi Google Maps kini papar pergerakan Masa-Nyata Bas Rapid KL, Go KL &...

Google Maps kini papar pergerakan Masa-Nyata Bas Rapid KL, Go KL & Smart Selangor

19
0

Rapid Bus semalam telah mengumumkan pengguna kini boleh membuat semakan bas-bas Rapid KL dalam masa-nyata menerusi Google Maps.

Melalui usahasama dengan Google, keupayaan ini turut ditawarkan kepada bas-bas lain kendalian Prasarana seperti Go KL, dan bas perantara LRT. Selain itu, beberapa bas Smart Selangor turut mempunyai kefungsian ini.

Sebelum ini pengguna hanya boleh mengetahui lokasi semasa bas-bas ini dengan menghubungi terus ke talian Rapid KL. Lebih dari 60% pertanyaan ke Rapid KL datangnya dari pengguna yang sedang menunggu bas dan ingin mengetahui lokasi semasa bas berkenaan dan juga kekerapannya.

Bagi mengetahui sama ada maklumat yang anda perolehi dalam masa-nyata atau tidak, anda perlu melihat pada warna pemasa di bawah lokasi perhentian bas pilihan anda. Jika ianya adalah hijau, ia bermakna bas anda tepat pada jadual, dan jika merah ia bermakna berlaku kelewatan.

Menerusi kemaskini masa-nyata, anda boleh melihat pergerakan bas di dalam peta laluan yang boleh diakses dengan mengetik pada nombor bas yang tertera di dalam Google Maps.

Bagaimanapun, jika pemasa bas dipaparkan berwarna hitam, ianya adalah jadual yang dijanakan oleh sistem dan bukannya di dalam masa-nyata.

Di dalam pengumumannya, Rapid Bus turut menyatakan perancangan untuk memperluaskan fungsi ini ke bas-bas pengataraan MRT, berserta bas-bas Rapid Penang dan Rapid Kuantan di masa hadapan.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.