Utama Komputer Permainan FIFA 23 akan menjadi Permainan berjenama FIFA terakhir dari EA; Akan ditukar...

FIFA 23 akan menjadi Permainan berjenama FIFA terakhir dari EA; Akan ditukar menjadi EA Sports FC kelak

639
0

Electronic Arts telah mengumumkan francais permainan boleh sepak paling popularnya tidak lagi diterbitkan dengan jenama FIFA bermula dari tahun 2023. Francais berkenaan kelak akan dikenali sebagai EA Sports FC.

Menerusi pengumuman secara berasingan, FIFA turut mengesahkan akan melaksanakan kaedah perlesenan bukan eksklusif untuk permainan video bola sepak. Namun, buat masa EA masih lagi dibenarkan untuk menggunakannya melalui FIFA 23 yang akan diterbitkan pada tahun ini.

Pengumuman tersebut secara rasminya menandakan tamatnya hubungan kerjasama di antara EA dan FIFA yang sudah dijalinkan sejak lebih kurang 30 tahun yang lalu. Perkembangan ini merupakan sesuatu yang sudah dijangkakan apabila kedua-dua pihak tidak bersetuju dengan perjanjian baharu bagi francais berkenaan. Dilaporkan, FIFA telah meminta untuk menaikkan kadar bayaran tahunan USD150 juta (~RM659 juta) yang diterima dari EA sebanyak dua kali ganda.

Sebelum itu, EA juga pernah menyatakan untuk mempertimbangkan semula perjanjian hak penggunaan nama FIFA. Tidak berapa lama kemudian, FIFA telah memberikan maklumbalas dengan menyatakan permainan dan esukan untuk bola sepak tidak boleh dikawal oleh satu pihak sahaja tanpa menamakan EA pada ketika itu.

FIFA yakin masa depan permainan bola sepaknya sendiri tanpa EA

Presiden FIFA, Gianni Infantino yakin masa depan permainan bola sepak FIFA mampu mengekalkan reputasinya selaku yang terbaik dalam genrenya sendri. Pun begitu, perkara ini agak sukar dipenuhi bagi pembangun lain untuk mencapai apa yang pernah EA hasilkan melalui siri permainan FIFA sepanjang 30 tahun yang lalu.

Malah EA juga memegang sejumlah hak merangkumi lgia bola sepak popular, pasukan, stadium-stadium yang berasingan dari perjanjiannya dengan FIFA. Misalnya di dalam FIFA 22, permainan tersebut mempunyai hak eksklusif terhadap UEFA Champions League, Premier League, LaLiga, Bundesliga, Serie A, dan Ligue 1.

Selain itu, EA juga mempunyai hak untuk menggunakan kemiripan rupa dan perwatakan bintang bolasepak menerusi kerjasamanya dengan kesatuan bola sepak profesional sedunia, FIFPRO.

Walaupun mempunyai jenama yang kukuh mampu melonjakkan sesebuah permainan ke dalam pasaran, apa yang lebih penting adalah kualiti dan kepermainan permainan tersebut. FIFA mungkin boleh melihat contoh apa yang telah ditawarkan oleh siri permainan bola sepak Konami, Pro Evolution Soccer (PES) atau kini dikenali sebagai eFootball.

Tinggalkan komentar