Konami sebelum ini mempunyai siri Pro Evolution Soccer yang selama ini menjadi pesaing kepada siri FIFA dari EA. Kini, siri tersebut akan ditamatkan apabila penerbit permainan berkomputer dari Jepun ini kelak memperkenalkan eFootball. Ia merupakan permainan bola sepak berkomputer yang ditawarkan sebagai permainan percuma.
Sebab utama mengapa langkah drastik ini dilakukan masih lagi belum diketahui dengan jelas. Menurut Konami, eFootball dibuat menggunakan Unreal Engine dan mempunyai teknologi baharu yang dinamakan sebagai Motion Matching.
Melalui penggunaan teknologi ini, eFootball menjanjikan tahap animasi sehingga empat kali ganda dengan tahap kejituan pergerakan yang dipertingkatkan.
Selain itu, eFootball membawakan pembaharuan dengan menawarkan sokongan permainan silang platform dan peranti. Ini bermakna, pemain-pemain dari PC, konsol, dan juga telefon pintar dapat bermain bersama-sama.
Bagaimanapun, bagi versi telefon pintar, ia akan dilancarkan lebih lewat jika dibandingkan dengan versi PC dan konsol. Dalam pada masa yang sama, Konami turut memperincikan pelan pelaksanaan bagi sokongan silang platform dan juga fungsi-fungsi lain.
https://youtu.be/Jzd7OpCHCi0
Oleh kerana eFootball ditawarkan sebagai permainan percuma, terdapat beberapa kandungan berbayar yang boleh dibeli di dalamnya. Siaran media dari Konami bagaimanapun tidak memperincikan dengan lebih lanjut mengenai mod-mod permainannya.
eFootball akan dilancarkan melalui Steam (untuk PC), konsol PlayStation dan Xbox pada Ogos ini. Versi Android dan iOS dikatakan akan menyusul kemudian, namun tiada tarikh yang ditetapkan diumumkan.