Google Pixel 7 Pro kini berkongsi markah tertinggi keseluruhan di dalam kedudukan kamera DxOMark markah keseluruhan 147. HONOR Magic4 Ultimate juga menyamai markah tersebut dengan iPhone 14 Pro kurang satu markah sungguhpun berada di tempat teratas bagi kedudukan markah kamera swafoto.
Menurut DxOMark, Pixel 7 Pro mencatatkan peningkatan yang menggalakkan dari Pixel 6 Pro di dalam penalaan perisiannya. Ia seterusnya menyumbang kepada kualiti zum dan video yang lebih baik.
Markah tertinggi DxOMark yang dicatatkan oleh telefon pintar terkini dari Google ini juga merangkumi kontras, tona kulit dan kejituan pendedahan imej yang lebih baik.
Autofokusnya juga cepat dan tepat dan apabila digabungkan bersama-sama ciri penjejakan wajah, ia menunjukkan prestasi yang cemerlang untuk foto berkumpulan dan subjek yang sedang bergerak.
Penambahbaikan kepada Super Res Zoom juga dapat dilihat melalui kaedah tangkapan baharu yang menggunakan maklumat dari kamera-kamera lain untuk mengumpulkan lebih banyak perincian untuk diolah ke dalam imej akhir yang dimuktamadkan.
Video dalam keadaan kurang pencahayaan pula bagaimanapun tidak begitu memuaskan dengan terdapat keadaan tidak begitu jelas, serta kurang perincian dan terdapat hingar apabila mengezum dalam jarak dekat.
Untuk swafoto foto dan video pula, ia mampu menghasilakn tona kulit yang semula jadi dan pendedahan yang lebih jitu. Swafoto dari jarak dekat pula kadangkala menjadi hilang fokus dengan hingar dapat dilihat dalam keadaan pencahayaan yang rendah.
Selain Pixel 7 Pro, HONOR Magic4 Ultimate dan iPhone 14 Pro, turut tersenarai di dalam tempat 10 teratas kamera telefon pintar berkenaan termasuklah Huawei P50 Pro, iPhone 13 Pro dan Google Pixel 6 Pro yang masing-masing menghuni di tangga ke-4, 5 dan 6.