Kesemua syarikat telekomunikasi di Malaysia buat masa ini sedang sibuk menjalankan proses penutupan rangkaian 3G masing-masing. Penutupan rangkaian ini merupakan sebahagian dari perancangan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Jalur spektrum yang digunakan oleh rangkaian 3G ini akan digunakan semula bagi meningkatkan liputan dan prestasi rangkaian 4G.
Digi akan melaksanakan proses penutupan rangkaian 3G mereka sepanjang tempoh bulan Disember ini.
Julai lalu, syarikat telekomunikasi ini telah menyatakan kejayaan proses penutupan rintis rangkaian 3G di Port Dickson menerusi laporan kewangan suku kedua 2021. Menerusi laporan berikutnya, suku ketiga 2021, Digi menyatakan terdapat kurang dari 300,000 pelanggannya yang masih menggunakan rangkaian 3G.
Dari segi liputan, 92% penduduk di Malaysia menerima liputan rangkaian LTE Digi berdasarkan laporan yang sama. Seperkara lagi, 75% dari populasi di negara kita juga di dalam liputan perkhidmatan LTE-A Digi.
Menurut laporan suku keempat JENDELA, sehingga September 2021 terdapat lebih 1.2 juta dari 2.1 juta pengguna 3G di Malaysia telah berpindah ke rangkaian 4G. Kementerian Komunikasi dan Multimedia turut menyatakan proses migrasi ini akan dijalankan secara berterusan sehingga ke tahun 2022.