Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pelan baharu Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi menambahbaik infrastruktur digital negara. Pelan yang dibentuk dari Makmal Infrastruktur Digital Negara ini turut berperanan menyediakan Malaysia ke arah transisi ke rangkaian 5G.
Dibahagikan kepada dua fasa, Fasa 1 JENDELA kini menurut Perdana Menteri sedang dilaksanakan dan akan melibatkan perluasan capaian 4G di berkependudukan dari 91.8% kepada 96.9%.
Fasa 1 juga menetapkan objektif meningkatkan keupayaan jalur lebar mudah alih negara dari 25Mbps kepada 35Mbps. Rangkaian 3G negara juga akan ditamatkan secara berperingkat menjelang penghujung tahun 2021 menerusi pelaksanaan fasa ini. Sebanyak 7.5 juta premis bakal menikmati sambungan jalur lebar tetap berkelajuan gigabit.
Selepas selesai pelaksanaan Fasa 1 kelak, Fasa 2 akan dilaksanakan bagi memigrasi rangkaian sedia ada kepada teknologi 5G. Setakat ini tidak dinyatakan mengenai garis masa pelaksanaan JENDELA. Apa yang difahamkan adalah ianya merupakan sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), 2021 -2025.