Utama Perkakasan Intel Intel secara rasminya umumkan “Ice Lake”, CPU Core Gen Ke-10 di Computex

Intel secara rasminya umumkan “Ice Lake”, CPU Core Gen Ke-10 di Computex

1033
0

Tidak lama selepas Intel mempertontonkan CPU Core Generasi Ke-9 keluarannya yang berprestasi tinggi, kini secara rasminya memperkenalkan CPU terbarunya, Core Generasi Ke-10 yang juga sebelum ini dikenali sebagai “Ice Lake”.

Kali ini, tumpuan lebih kepada peranti ultra-mudah alih terutamanya laptop dan tidak sekadar menghasilkan CPU yang lebih berkuasa dari versi keluaran yang terdahulu. Bagaimanapun, CPU Intel generasi terbaru ini masih lagi menawarkan variasi i3, i5 dan i7 darinya. Antara yang paling mencuri tumpuan pada CPU ini adalah grafik berintegrasi Generasi Ke-11 “Iris Plus” yang dimuatkan bersama-sama. Sungguhpun ia merupakan grafik berintegrasi, tahap kuasa yang diberikan olehnya agak mengkagumkan hingga mampu memainkan permainan beresolusi 1080p dengan lancar.

Dibina berdasarkan seni bina Intel Sunny Cove, CPU ini menampilkan rekaan quad-teras, lapan-bebenang dengan kelajuan mampu mencecah 4.1GHz. Sebagai perbandingan, Gen Ke-8, Core i7-8565U dahulu boleh dipertingkatkan sehingga 4.6GHz. Manakala CPU i5 dan i3 keluaran generasi terdahulu mampu mencapai peringkat tertingginya pada 3.9 GHz.

Spesifikasi penuh CPU ini masih lagi belum diumumkan lagi setakat ini. Namun, Intel mendakwa Sunnycove boleh mengendalikan 18 peratus lebih banyak arahan setiap klok (instructions per clock, IPC)  berbanding generasi sebelumnya. Bermakna CPU ini mampu melakukan lebih banyak pada kelajuan klok yang sama. Penambahbaikan senibina seharusnya membawa kepada peningkatan prestasi. Ini merangkumi cache L1 dan L2 yang lebih besar; lebih banyak labuhan pelaksanaan (untuk mengendalikan lebih banyak tugasan secara serentak); dan membuat unjuran cabang yang lebih baik (untuk menjangkakan tugasan akan datang). Peningkatan sebegini sukar dicapai jika sekadar mengharap pada kelajuan klok semata-mata.

Iris Plus

Pastinya peningkatan kelajuan ini turut memberi kesan langsung terhadap grafik berintegrasi Generasi ke-11 yang disertakan bersama-samanya. Grafik berintegrasi ini menampilkan prestasi mencecah tahap teraflop dengan 64 unit pelaksanaan dan kelajuan klok sehingga 1.1GHz. Sebagai perbandingan, grafik Intel UHD 620 sebelumnya hanya memiliki 24 unit pelaksanaan.

Grafik berintegrasi Intel Iris Plus sebelum ini dilaporkan boleh mencapai lebih daripada 70 FPS di dalam permainan CS:GO pada resolusi 1080p. Peningkatan yang mendadak berbanding iterasi sebelumnya sekitar 45 FPS  sahaja. Berdasarkan statistik Intel, ia juga mampu mencecah 60 FPS dalam permainan Rocket League dengan resolusi yang sama, dan lebih dari 30 FPS untuk permainan Fortnite. Jika dengan grafik sebelumnya, Fortnite hampir tidak dapat dimainkan pada resolusi 1080p.

Selain permainan komputer, Iris Plus Graphics juga menambah sokongan untuk standard penyegerakan adaptasi VESA (VESA adaptive sync standard), yang mampu keadaan “koyakan skrin”, selain melancarkan prestasi pada paparan yang disokong. Di samping itu, ia akan menawarkan pecutan pengekodan video untuk kandungan HEVC/VP9 4K/60FPS dan juga 8K pada 30 FPS. Pengguna juga boleh memanfaatkan pengekodan ini di dalam aplikasi seperti Adobe Premiere dan Cyberlink PowerDirector, sesuatu yang mustahil untuk dilakukan oleh grafik bersepadu keluaran tahun lalu. Sebagai bonus, sokongan langsung untuk main semula HDR dan Dolby Vision turut disediakan, bersama-sama kecekapan penggunaan tenaga yang lebih baik.

Kecerdasan buatan (AI) yang lebih bijak

CPU Gen Ke-10 ini juga bakal memperlihatkan pengiraan AI yang lebih pantas. Core i7 baru menawarkan dua setengah kali ganda lebih cepat berbanding versinya tahun lepas apabila memproses imej melalui antara muka pembelajaran mendalam ResNet-50 . Ini bermakna pemproses baru lebih pantas dalam tugasan seperti carian semantik dalam Microsoft Photo, yang bergantung kepada AI komputer berkenaan untuk menyusun imej. Dalam ucaptamanya di Computex, Intel memperlihatkan bagaimana keupayaan AI dapat membantu mempertajamkan rakaman video kabur dengan hampir serta-merta.

Untuk penambahbaikan yang lain pula, cip Gen-10 ini turut dilengkapi WiFi 6/802.11ax, yang menawarkan 40 peratus berbanding wireless jenis  AC, selain menawarkan prestasi yang lebih baik di dalam kawasan penduduk berkepadatan tinggi. Tidak ketinggalan, sokongan untuk sambungan Thunderbolt 3 turut disediakan.

Kebelakangan ini kita berasa agak sukar untuk teruja untuk melihat perkembangan terkini CPU untuk laptop ultra-mudah alih. Namun, cip Core Gen Ke-10 ini mungkin menjanjikan kelainan dan pembaharuan untuk laptop-laptop keluaran terbaru akan datang nanti. Penambahbaikan yang ketara ini mampu dicapai melalui perubahan kepada senibina 10nm yang baru ini.

Sumber berita diperoleh dari The Verge

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.