Utama Komputer Intel CPU Desktop Intel Generasi Ke-11 Rocket Lake-S dilancarkan

CPU Desktop Intel Generasi Ke-11 Rocket Lake-S dilancarkan

842
0
Intel Core Generasi Ke-11 Rocket Lake-S

Intel secara rasminya telah melancarkan siri CPU desktop Generasi Ke-11 Rocket Lake-S semalam. Selain penambahbaikan IPC setiap teras, Intel Generasi Ke-11 yang menggunakan proses pembuatan Intel 14nm ini turut menawarkan sokongan antaramuka PCIe 4.0 terkini.

Selain itu, bagi versi teratas CPU di dalam siri ini menyediakan sokongan sehingga 20 laluan PCIE 4.0. Ia juga menyediakan sokongan untuk RAM DDR4-3200, Intel Deep Learning Boost dan VNNI.

Tidak ketinggalan, ia juga menyokong grafik berintegrasi baharu Xe dan juga BAR boleh diselaraskan bagi mempertingkatkan kualiti grafiknya.

Tiada CPU yang lengkap tanpa sokongan dari cipset pada papan induk yang akan dipasangkan dengannya. Oleh itu, sebuah cipset siri 500 baharu turut dilancarkan dengan beberapa pembaharuan.

Sokongan sehingga 20 laluan PCIe 4.0

Antara pembaharuan tersebut, terutamanya pada model mercunya adalah sokongan USB 3.2 Gen2x2 dengan kelajuan pemindahan data sehingga 20Gbps. Turut disediakan sokongan sehingga 20 laluan 20 PCIe 4.0 dengan semua jenis CPU Rocket Lake-S, Discrete (diskrit) Wi-Fi 6e dan Intel Thunderbolt 4.

Apa yang amat penting pada pembaharuan ini adalah keupayaan melakukan overclock pada memori bagi cipset pertengahan H570 dan rendah B560. Penambahbaikan pada overclocking ini turut melibatkan seluruh CPU Intel Generasi Ke-11.

Turut diperkenalkan fungsi overclock memori dalam masa nyata bersama-sama fungi Offset AVX2 dan AVX-512 serta Voltage Guard-Band Override. Fungsi Voltage Guard-Band Override dikatakan mampu mempertingkatkan prestasi keseluruhan sistem perkomputeran menggunakan CPU baharu ini.

Model-model CPU Core Generasi Ke-11 baharu ini juga akan mengikut tatatingkat dan tatanma Intel yang sedia ada. CPU teratas di dalam siri ini adalah CPU Core i9-11900K. Ianya menawarkan 8-teras berprestasi tinggi, 16 bebenang dengan klok asas 3.5GHz. Kesemua terasnya boleh dipertingkatkan sehingga 5.3GHz melalui penggunaan teknologi Intel Thermal Velocity Boost (TVB).

Seterusnya untuk Core i7-11700K pula, bilangan terasnya masih lagi sama dengan Core i9-11900K, tetapi dengan klok asas 3.6GHz. Bagaimanapun, menerusi senarai SKU, Intel tidak menyatakan kelajuan klok dipertingkatkan CPU ini apabila digunakan bersama-sama Intel Thermal Velocity Boost (TVB).

Dalam perkembangan berkaitan, Intel turut mengumumkan senarai CPU Intel Core Generasi Ke-10 yang boleh menggunakan cipset siri 500 baharu. Bagaimanapun, ia hanya terhad kepada CPU peringkat rendah seperti Core i3 dan Pentium Gold G sahaja. Keputusan ini agak aneh dan menghairankan kerana ianya tidak melibatkan pemprosesan Generasi Ke-10 lain termasuk Core i5 dan i7.

Setakat ini Intel tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung tarikh kemasukan CPU Core Generasi Ke-11 dan cipset papan induk siri 500 baharu ke pasaran.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.