Utama Apple Chrome pada Windows 10 kini kurangkan penggunaan RAM – Google

Chrome pada Windows 10 kini kurangkan penggunaan RAM – Google

Chrome 89 menjanjikan penggunaannya menjadi lebih pantas pada Windows 10, selain penjimatan penggunaan sumber pada macOS dan Android.

607
0
Google-Chrome-89-Windows-10

Google dilaporkan telah menerbitkan Chrome versi 89 yang membawakan penjimatan memori ketara pada Windows 10. Selain itu, ia juga membawakan penambahbaikan pada pengurusan memori untuk macOS dan pengalaman kepenggunaan yang lebih baik pada Android.

Untuk Windows 10, Google mendakwa Chrome mencapai penjimatan sehingga 20% memori pada proses pelayar, 8% pada kemas gabung (render), dan 3% pada GPU. Pencapaian ini dapat dilaksanakan hasil dari kaedah pemuliharaan memori pada Chrome, PartitionAlloc.

Google juga mempertingkat kecekapan penggunaan memori Chrome di dalam tab latar depannya. Ini bermakna, Chrome boleh mendapatkan semula sehingga 100MB pada setiap tabnya dengan membuang memori dari tab latar depan yang tidak digunakan ketika itu. Misalnya untuk imej bersaiz besar yang telah ditatalkan sehingga keluar dari skrin paparan.

Chrome pada macOS

Untuk macOS pula, Chrome mempunyai jejak memori yang lebih kecil pada tab latar belakangnya. Menurut Google, sebanyak 8% penjimatan memori dapat dilaksanakan pada macOS, yang mana boleh mencapai sehingga 1GB.

Chrome juga kini mengurangkan penggunaan tenaga Mac melalui fungsi pendikit tab atau pendikit pemasaan JavaScript yang hadir pada Chrome 87 sebelum ini. Pendikitan tab membawakan lebih sumber pada tab-tab yang sedang aktif dengan mengambil dari sumber tab-tab latar belakang.

Markah Apple Energy Impact turut mencatatkan peningkatan 65% pada Acntivity Monitor macOS bagi tab-tab di latar belakang Chrome.

Chrome pada Android

Seterusnya untuk Android pula, Chrome versi terkini ini membawakan peningkatan kecekapan sebanyak 5% pada penggunaan memori. Juga, 7.5% lebih pantas untuk masa mula, dan 2% lebih pantas untuk memuatkan sesebuah halaman.

Tambahan dari itu, Chrome pada peranti Android Q dan ke atas dengan RAM sekurang-kurangnya 8GB ditukarkan kepada binari 64-bit. Chrome pada telefon pintar ini akan menikmati muat halaman 8.5% lebih pantas dan 28% lebih lancar sewaktu penggunaannya.

Akhir sekali, Chrome pada Android turut menyediakan fungsi baharu yang dikenali sebagai ‘Freeze-Dried Tabs’, bagi membantu ianya dimulakan dengan 13% lebih pantas. Fungsi ini menyimpan versi ringan tab-tab yang mirip dengan imej tangkap layar, tetapi pada masa yang sama masih lagi membenarkan fungsi menatal, mengezum dan mengetik pada pautan.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.