Inisiatif Cerdik

CERDIK, inisiatif pemberian komputer laptop dan tablet dengan data internet khusus untuk pelajar B40, telah mengumumkan akan menyediakan sekurang-kurangnya 50,000 peranti pembelajaran dalam talian kepada pelajar yang layak selewat-lewatnya hujung bulan depan. Baki 100,000 peranti lagi disasarkan akan diagihkan menjelang penghujung September ini.

Berdasarkan kenyataan rasmi yang dikeluarkan, 13,000 peranti telah pun diagihkan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) kepada jabatan-jabatan pendidikan negeri.

Turut dilaporkan, lebih dari 1,000 orang pelajar telah menerima peranti berkenaan dengan dana diterima dari GLC, GLIC dan badan-badan korporat.

CERDIK turut menyatakan kesemua peranti-peranti berkenaan merupakan yang terkini dan boleh menerima kemaskini perisian untuk sekurang-kurangnya tiga tahun. Peranti berkenaan juga menawarkan kualiti, kefungsian dan keselamatan bagi mengurangkan masalah dan gangguan ketika pembelajaran sedang dijalankan. Bagi membantu memudahkan para pelajar, peranti-peranti CERDIK juga disertakan dengan sokongan teknikal dan waranti.

Program rintis CERDIK turut menerima sumbangan dari badan-badan korporat seperti Khazanah Nasional Berhad, Yayasan Petronas, Permodalan Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Tabung Haji.

Menurut laman soalan-soalan lazim di dalam laman web rasminya, peranti-peranti yang diterima oleh pelajar-pelajar yang layak adalah hak milik Kementerian Pendidikan Malaysia. Peranti-peranti tersebut disertakan bersama-sama satu kad SIM dengan data untuk tempoh kegunaan sekurang-kurangnya 12 bulan.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.