Celcom dan Huawei telah menjalinkan usaha sama memasang rangkaian komersial berskala besar FDD Smart 8T8R pertama di dunia di Malaysia.
Usaha pemasangan rangakain Smart 8T8R ini merupakan sebahagian daripada komitmen pelaburan penambahbaikan rangkaian Celcom yang bernilai lebih dari RM 250 juta.
Isi Kandungan
Celcom catat peningkatan penggunaan data sebanyak 70% ketika PKP
Rakyat Malaysia amat memerlukan sambungan internet ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Atas sebab itu, Celcom telah mencatatkan peningkatan penggunaan data sebanyak 70%, iaitu sebanyak 474 juta GB pemindahan data yang telah direkodkan pada suku pertama 2021, berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.
OpenSignal juga telah merekodkan kesan dari peningkatan mendadak penggunaan data mudah alih sepanjang tempoh PKP ini telah memberikan kesan negatif terhadap kualiti rangkaian secara keseluruhannya.
Celcom mencatatkan peningkatan penggunaan data yang paling ketara sehingga 44%, dengan kelajuan puratanya telah merosot kepada 25%. Bagaimanapun, keadaan telah mulai pulih beberapa bulan berikutnya dan terus kekal sehingga kini.
Teknologi 8T8R
Sebelum ini, Celcom telah memasang menara pemancar 4T4R di seluruh negara yang mengandungi 4 antena pemancar dan 4 antena penerima untuk mengaktifkan 4×4 MIMO.
Bagi mengatasi masalah kesesakan rangkaian, Celcom telah menggunakan teknologi rangkaian Huawei Smart 8T8R yang mampu meningkatkan kapasiti rangkaian sehingga hampir 80%. Melalui 8T8R, ia mampu menyediakan peningkatan prestasi yang lebih kos efektif melalui penggunaan 8 antena pemancar dan 8 antena penerima.
Celcom juga dapat mengoptimumkan sumber spektrum sedia ada dan meningkatkan kapasiti rangkaian mudah alihnya serta mampu menguruskan lebih ramai lagi bilangan pengguna di sesebuah kawasan pemancar.
Smart 8T8R menggunakan kaedah antena bertakrif-perisian (software-defined antenna, SDA) dan FDD (Frequency Division Duplex) dual-band RRU (Remote Radio Unit). Ia juga disokong oleh algoritma Huawei bagi membolehkan fungsi naik taraf berdasarkan permintaan dilaksanakan.
Rangkaian 8T8R Celcom menggunakan kedua-dua jalur 1800MHz dan 2100MHz dan buat masa ini disediakan di kawasan-kawasan seperti di Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Pulau Pinang.
Pihak Celcom juga menyatakan pihaknya sedang giat menaik taraf lebih banyak lagi lokasi 4G dengan rangkaian 8T8R di seluruh negara. Sambil masih lagi menyediakan sokongan bagi tapak 4T4R sedia ada di kawasan bandar dan luar bandar di seluruh negara.