Tiga syarikat telekomunikas utama negara, Celcom, Maxis dan Digi telah mengumumkan kerjasama membangun dan berkongsikan infrastruktur gentian optik negara.
Kerjasama erat ini bertujuan bagi memastikan rangkaian 4G yang ditawarkan lebih pantas dan stabil, malah bakal memberi ruang pelaksanaan rangkaian 5G tempatan di masa hadapan.
Selaras dengan pelan JENDELA yang dilancarkan, syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan diarahkan supaya mempertingkatkan mutu rangkaian masing-masing terutamanya 4G. Peningkatan mutu ini dapat memanfaatkan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira tempat tinggal atau tahap ekonomi.
Selain itu, kerjasama ini juga dapat menyegerakan usaha pembangunan rangkaian gentian optik seluruh Malaysia. Malahan, ianya juga dapat mengelakkan isu pertindihan infrastruktur yang merugikan pengguna dan penyedia perkhidmatan.
Perjanjian perkongsian infrastruktur gentian optik ini berkuatkuasa selama 20 tahun.