Utama Mobile Aplikasi Cara tebus kredit eWallet RM200 eBeliaRahmah

Cara tebus kredit eWallet RM200 eBeliaRahmah

408
0

Belia dan pelajar sepenuh masa di institut pengajian tinggi di Malaysia boleh memohon untuk mendapatkan kredit eWallet RM200 bermula dari 26 Jun 2023 menerusi program eBeliaRahmah.

Sebagaimana yang telah diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2023, sebanyak RM400 telah diperuntukkan bagi program tersebut yang mensasarkan penggalakkan penggunaan nirtunai di kalangan masyarakat selain turut meringankan beban kewangan individu yang layak.

Siapa yang layak menerima kredit eWallet RM200 eBeliaRahmah?

Program eBeliaRahmah hanya untuk rakyat Malaysia yang memenuhi syarat-syarat seperti berikut:

  • Belia berusia 18 hingga 20 tahun pada 2023 (individu yang lahir dari 2003 hingga 2005)
  • Pelajar sepenuh masa yang berdaftar dengan institusi pengajian tinggi di Malaysia dengan status aktif sebelum 30 April 2023

Dijangkakan program ini bakal memanfaatkan sejumlah 2 juta belia di dalam negara. Pelajar yang baharu memulakan tahun pengajian pada tahun ini tetapi telah berdaftar sebagai pelajar sepenuh masa sebelum 30 April 2023 turut layak menerima manfaat dari program ini.

Cara menebus kredit RM200 eBeliaRahmah

Untuk program ini, hanya tiga penyedia perkhidmatan eWallet yang turut serta. Kredit eWallet RM200 eBeliaRahmah boleh ditebus menerusi:

  • Boost
  • Setel
  • Touch ‘n Go eWallet

Pengguna perlu mengesahkan akaun eWallet masing-masing menerusi proses Kenali Pelanggan Anda (Know Your Customer, eKYC) sebelum menebus.

Perkhidmatan yang menyokong program terdahulu, ePemula seperti BigPay, Grab dan Shopee bagaimanapun tidak turut serta pada kali ini.

Selain dari kredit eWallet RM200, penyedia perkhidmatan eWallet yang terlibat di dalam eBeliaRahmah turut menawarkan pelbagai insentif tambahan.

Antaranya baucar, pulangan tunai dan juga mata ganjaran. Individu yang layak hanya boleh menebus kredit eWallet RM200 berkenaan hanya sekali sahaja dari salah satu dari penyedia yang disenaraikan.

Bila boleh tebus kredit RM200 eBeliaRahmah?

Menurut Kementerian Kewangan, penerima yang layak boleh memohon untuk menebus kredit berkenaan bermula dari 8 pagi, Isnin 26 Jun 2023. Tempoh penebusan boleh dibuat sehingga 22 Ogos 2023, dan RM200 akan dikreditkan dalam tempoh 3 hari selepas permohonan.

Di mana anda boleh membelanjakan kredit RM200 eBeliaRahmah?

Kredit RM200 yang ditebus hanya boleh digunakan menerusi saluran luar talian (offline) sehingga 11:59 malam 31 Ogos 2023. Ini bermakna anda tidak boleh menggunakannya untuk transaksi dalam talian, pembayaran di dalam aplikasi, pemindahan antara rakan, parkir dan juga tol. Anda juga tidak boleh memindahkan kredit RM200 ini kepada akaun eWallet lain.

Tiga penyedia eWallet yang menyokong perkhidmatan ini – Boost, Setel dan Touch ‘n Go eWallet membenarkan pengguna mengimbas dan membayar menggunakan kod QR DuitNow. Lebihan baki dari kredit eBeliaRahmah ini akan luput selepas tarikh tamat.

Maklumat lanjut, layari laman web rasmi Kementerian Kewangan.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.