KUALA LUMPUR, 21 Jun 2023 – Setel ingin merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kewangan kerana dilantik sebagai salah satu penyedia perkhidmatan e-Dompet untuk program eBeliaRahmah, bagi menyokong usaha Kerajaan untuk meringankan beban kewangan serta membudayakan pembayaran tanpa tunai dalam kalangan belia.
Mulai 26 Jun hingga 31 Ogos 2023, belia Malaysia berumur 18 hingga 20 tahun atau pelajar Malaysia sepenuh masa yang berdaftar di Institut Pengajian Tinggi (IPT) Malaysia layak menuntut kredit eBeliaRahmah RM200 secara ‘one-off’ melalui aplikasi Setel.
“Setel berbesar hati untuk menyokong program eBeliaRahmah, selari dengan tujuan kami untuk memupuk budaya masyarakat tanpa tunai dan mempromosikan transaksi kewangan yang lebih selamat dan efisien. Diperkasa dengan penerimaan di lebih 1.6 juta kedai runcit di seluruh negara dan di rangkaian stesen minyak terbesar Malaysia yang merangkumi lebih 1,000 stesen PETRONAS di seluruh negara, belia yang layak memohon eBeliaRahmah melalui aplikasi Setel boleh membeli-belah di kedai runcit yang memaparkan kod QR Setel, DuitNow, dan di mana-mana stesen PETRONAS. Setel berharap dapat membantu meringankan beban kewangan belia melalui insentif tambahan kami dan seterusnya menyumbang kepada perkembangan ekonomi bagi perniagaan tempatan dan menyokong peralihan mereka ke arah pembayaran tanpa tunai dengan lancar.” kata Mazlin Erawati Ab Manan, Ketua Pegawai Eksekutif Setel.
Untuk memohon RM200 kredit e-tunai mulai 26 Jun 2023, belia yang layak perlu memuat turun atau mengemas kini kepada versi terkini aplikasi Setel dan melengkapkan pengesahan akaun melalui e-KYC. Insentif ini akan dikreditkan ke Dompet eBeliaRahmah pengguna dalam aplikasi selepas permohonan berjaya, dan akan dimaklumkan melalui notifikasi semerta dan mesej peti masuk aplikasi.
Insentif ini boleh digunakan untuk pembelian di mana-mana kedai runcit yang menerima kod QR Setel dan DuitNow, dan di stesen PETRONAS di seluruh negara. Insentif eBeliaRahmah perlu digunakan sebelum 31 Ogos 2023 dan tidak boleh dipindahkan ke akaun e-Dompet lain. Untuk maklumat lanjut, sila layari https://budget.mof.gov.my/manfaat/faq/etunai-rahmah.html