Home Mobile Aplikasi Caprice perkenalkan Aplikasi Penjejakkan Kontak COVID-19

Caprice perkenalkan Aplikasi Penjejakkan Kontak COVID-19

0
286

Penyanyi rap Ariz bin Ramli atau lebih dikenali dengan nama pentasnya, Caprice telah memperkenalkan sebuah aplikasi penjejakkan kontak COVID-19. Dikenali sebagai Virtual Movement Control Order (VMCO), aplikasi ini dibangunkan sebagai projek sampingan di luar kerjaya seni beliau.

Secara asasnya, VMCO bertujuan membolehkan orang ramai dan perniagaan beroperasi dengan lebih sistematik dan terbuka dalam menghadapi keadaan normal baharu nanti. Aplikasi penjejakkan kontak ini juga dibina berasaskan penandaan kawasan-kawasan berdasarkan kod warna.

Misalnya, untuk warna hijau, seseorang individu tersebut boleh bergerak secara bebas sekitar di dalam kawasan zon hijau. Manakala profil kuning pula, individu berkenaan perlu mengehadkan pergerakannya sekitar 10km dari kediamannya sahaja. Warna jingga pula, had pergerakan ditetapkan pada 3km sahaja dari kediaman. Individu di dalam zon merah pula, langsung tidak dibenarkan untuk keluar dari kediaman masing-masing.

Melalui pelaksanaan geo-pemagaran ini, profil hijau akan dikategorikan semula sebagai profil kuning untuk tempoh 48 jam jika individu berkenaan bergerak keluar dari zon hijau yang telah ditetapkan di dalam aplikasi tersebut. Jika hal ini berlaku, aplikasi ini akan melaporkan kepada pihak berkuasa secara automatik.

Menurut Caprice, penglibatan pihak peniaga di dalam aplikasi ini merupakan elemen yang paling penting. Jika seseorang individu keluar ke kedai, peniaga-peniaga boleh meminta individu berkenaan untuk ketik pada pembaca VMCO atau memberikan ID unik mereka untuk merekodkan lokasi semasa ke dalam sistem VMCO.

Matlamat utama elemen-elemen ini adalah bagi mewujudkan jejak digital berkaitan dengan pergerakan individu. Jika seseorang itu dikesan positif COVID-19, sistem VMCO boleh digunakan untuk menjejak kembali pergerakan individu berjangkit secara automatik untuk mengesan sesiapa yang sudah mempunyai kontak dengannya.

Sebaik dikenalpasti, profil individu tersebut akan dikategorikan semula kepada merah dan dirujuk kepada pihak berkuasa untuk tujuan pengujian dan kuarantin. Selain itu, sistem ini juga mengumpulkan lokasi-lokasi yang telah dikunjungi oleh individu berjangkit berkenaan.

Secara keseluruhannya, konsep yang digunapakai oleh aplikasi dari Caprice ini bukanlah sesuatu yang baru. Beberapa agensi kerajaan tempatan di China turut menggunakan sistem kod QR berasaskan kategori warna.

Aplikasi VMCO dari Caprice ini merupakan sebuah lagi aplikasi khusus COVID-19 tempatan.

Pada masa yang sama, penyanyi rap Caprice turut memaklumkan aplikasi ini sedia untuk digunapakai dalam tempoh 45 hari jika menerima sokongan dari pihak kerajaan. Buat masa ini, Caprice meminta sokongan melalui kuasa viral 1 juta pengikutnya di Instagram.

Sama-sama kita lihat perkembangannya ini nanti.

NO COMMENTS

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.