Bersempena pelancaran siri Galaxy S23 di Malaysia baru-baru ini, Samsung kini menawarkan Galaxy S23 percuma bagi pemilik Galaxy S Ultra dan Galaxy Note Ultra generasi terdahulu yang berhasrat menukar ganti dengan Galaxy S23 Ultra baharu. Bergantung pada jenis model, Galaxy S23 Ultra tersebut boleh ditukar ganti secara percuma.
Galaxy S23 berkenaan hanya ditawarkan secara percuma bagi pengguna yang menukar ganti Galaxy S22 Ultra. Bagi Galaxy S21 Ultra, pengguna berkenaan perlu menambah RM199, manakala untuk Galaxy Note20 Ultra pula tambahan sebanyak RM399 akan dikenakan. Selain itu, peranti yang akan ditukar ganti juga perlu dalam keadaan elok dan boleh berfungsi.
Promo Beli 1 Dapat 1 ini juga hanya sah bagi pembelian Galaxy S23 Ultra 256GB yang berharga RM5,699. Bagi Galaxy S23 yang diterima diterima pula ia merupakan varian standard dengan storan 128GB.
Pelanggan yang memilih untuk mendapatkan Galaxy S23 Ultra melalui promosi ini juga tidak boleh mendapatkan tawaran pelancaran lain seperti Galaxy Watch5 percuma.
Pun begitu, anda masih boleh menikmati promosi Pembelian dengan Pembelian bersempena pelancaran yang menawarkan promosi diskaun sehingga 30% untuk aksesori asli dari Samsung dan siri Galaxy Tab S8. Serta potongan 20% untuk peranti boleh pakai dan boleh dengar Galaxy yang terpilih.
Promosi Beli 1 Dapat 1 untuk pemilik Galaxy Ultra ini boleh didapati menerusi Samsung Experience Stores di seluruh negara bermula dari esok 24 Februari 203 sehingga 31 Mac 2023. Selain itu, anda juga boleh mendapatkannya menerusi jerayawara pelancaran siri Galaxy S23 yang akan diadakan di Utama Shopping Mall PJ, Gurney Plaza Penang, Aeon Tebrau City Johor, dan Vivacity Megamall Kuching.













