TNG Digital mengesahkan sokongan ciri Tambah Nilai Automatik (Auto Reload) dan Pembayaran Pantas (Quick Payment) yang dipautkan kepada kad debit akan dihentikan sepenuhnya bermula 13 Mei 2026.

Langkah ini diambil selepas kedua-dua fungsi berkenaan diletakkan di bawah status penyelenggaraan sejak pertengahan April lalu. Ia merupakan sebahagian daripada proses penilaian berterusan pihak syarikat terhadap prestasi sistem serta kebolehpercayaan transaksi pengguna di platform e-dompet tersebut.

Penggunaan kad kredit untuk ciri Tambah Nilai Automatik dan Pembayaran Pantas bagaimanapun akan terus berfungsi seperti biasa.

Pengguna kad debit masih boleh membuat penambahan nilai secara manual atau satu kali (one-time reload) pada bila-bila masa.

Alternatif pembayaran lain termasuk DuitNow Transfer dan penggunaan PIN tambah nilai juga masih lagi disokong.

Keputusan menamatkan sokongan dikatakan bagi mengurangkan insiden transaksi gagal yang kerap menjadi isu di plaza tol apabila fungsi tambah nilai automatik tidak bertindak balas seperti yang sepatutnya.

Penamatan fungsi ini mungkin memberi sedikit ketidakselesaan kepada pengguna yang lebih selesa menggunakan kad debit untuk transaksi harian yang lancar.

Oleh yang demikian, pengguna disarankan untuk sentiasa menyemak baki TNG eWallet masing-masing atau menggunakan alternatif seperti DuitNow Transfer bagi mengelakkan sebarang kesulitan semasa membuat pembayaran, terutamanya ketika melalui lorong tol.

Tinggalkan komentar