Asus tidak mengambil masa yang lama untuk mengumumkan pengeluaran papan induk terbaru yang menggunakan chipset baru, B450 yang dikhususkan untuk pemprosesan AMD Ryzen Generasi Kedua. Dari tujuh buah model papan induk ini, tiga daripadanya kini sudah boleh didapati di pasaran Malaysia.
Salah satunya papan induk Asus ROG Strix B450-F Gaming, sesuai dengan namanya, merupakan sebuah papan induk yang dikhususkan untuk gaming dan ia merupakan sebahagian dari siri papan induk ROG Strix.
Rekaannya menyokong pilihan penyejukan berbilang dan atas sebab itu, papan induk ini hadir dengan ciri pengesan auto kipas PWM/DC pada kesemua pengepala kipasnya. Ia juga turut dilengkapi dengan pengepala PWM/DC khusus untuk pemasangan penyejuk cecair AIO.
Asus turut menyatakan pihaknya telah menambahbaik kestabilan memori DDR4 pada ROG Strix B450-F Gaming yang seterusnya membolehkan pengguna memaksimakan potensi RAM-RAM yang dipasangkan.
Bersama-sama penataan cahaya RGB Asus Aura dan dua slot PCIe 3.0 M.2, papan induk ini turut dilengkapi dengan codec audio SupremeFX S1220A, dua amplifier fon kepala dan kapasitor audio Nichicon bagi membantu menyediakan output audio berkualiti tinggi.
TUF B450M-Plus Gaming
Selain itu, Asus turut mengeluarkan papan induk TUF B450M-Plus Gaming bagi pasaran Malaysia. Sungguhpun papan induk ini kecil kerana dikategorikan sebagai microATX, ia masih lagi mampu menyokong pemasangan RAM sehingga 64GB DDR4-3200, dwi kad grafik di dalam CrossFireX, dan 8 saluran audio HD dengan mod tersuai DTS untuk set kepala gaming. Papan induk ini juga memancarkan pencahayaan RGB Asus Aura.
Prime B450M-K
Akhir sekali Prime B450M-K, sebuah lagi papan induk jenis microATX terbaru dari Asus ini mensasarkan kepada pengguna arus perdana. Disebabkan itu, papan induk ini menampilkan rekaan yang lebih ringkas disamping jumlah slot dan labuhan yang lebih kecil jika dibandingkan dengan dua lagi model papan induk terbaru Asus seperti yang dinyatakan di atas.
Untuk harga, Prime B450M-K dijual pada harga RM 429 manakala TUF B450M Plus Gaming dan ROG Strix B450-F Gaming pula boleh diperoleh pada, masing-masing RM 519 dan RM 599. Ketiga-tiga papan induk ini dilindungi dengan warranty selama 3 tahun dan boleh dilanjutkan setahun lagi jika pengguna mendaftarkan pembelian dengan Asus Malaysia.