Hari ini merupakan hari kemaskini besar Apple apabila versi baharu perisian untuk iPhone, iPad dan Mac secara rasminya diterbitkan. Selain pengguna iPhone yang telah pun merasai sistem operasi baharu iOS 16, pengguna iPad dan Mac mula mendapatkan kemaskini terkini perisian masing-masing menerusi iPadOS 16 dan macOS Ventura.
Apple menangguhkan penerbitan iPadOS 16 atas sebab yang didakwa perlu memerlukan lebih masa bagi memperincikan ciri berbilang tugas Stage Manager. Malahan, pihak syarikat juga terpaksa melangkau versi iPadOS 16.0 terus ke versi 16.1 supaya dapat menyelaraskan pelancarannya dengan tarikh jualan iPad Pro dan iPad terkini pada minggu ini.
Apa yang baharu di dalam iPadOS 16
Versi terkini sistem operasi iPad ini akan menyertakan sejumlah kemaskini yang terdapat pada iOS 16 seperti perubahan pada Mail, Safari, Messages dan pelbagai aplikasi-aplikasi utama.
Selain lebih menumpukan pada ciri kolaborasi antara pengguna, iPadOS baharu ini juga membawakan aplikasi Weather dan Clock ke dalam iPad. Sokongan paparan luaran untuk Stage Manager pula dijangka akan tiba dalalm tempoh beberapa bulan lagi.
Disasarkan akan diterbitkan dalam tahun ini juga, Apple akan menerbitkan aplikasi produktiviti kolaboratif iPad yang dikenali sebagai Freeform. Secara asasnya, aplikasi berkenaan adalah ruangan anda mencoretkan idea seperti sebuah papan putih menggunakan Apple Pencil.
Menurut Apple, anda boleh melekatkan apa jua jenis fail ke kanvas aplikasi berkenaan seperti imej, video, audio, PDF, dokumen, URL serta pra-tonton untuk sesebuah kandungan.
Kemaskini macOS Ventura
Sokongan Stage Manager juga merupakan tumpuan utama di dalam sistem operasi macOS Ventura yang kini menjadikan pengalaman berbilang tugasan di dalam Mac lebih baik.
Ciri Continuity Camera yang membolehkan anda menggunakan iPhone anda sebagai webcam untuk Mac secara natif juga kini disediakan menerusi kemaskini ini. Selain itu, turut diperkenalkan di dalam pelayar web Safari – perkongsian tab yang dikumpulkan dan kekunci kata laluan (passkey).
Pilihan aksesibiliti juga turut ditambahbaik melalui macOS Ventura. Apple kini menambah Live Captions untuk kesemua kandungan audio, selain turut menyediakan fungsi Type to Speak untuk panggilan, alatan membaca pruf Text Checker untuk anda yang menggunakan pembaca skrin VoiceOver dan banyak lagi.
Menu System Preference di dalam sistem operasi ini juga kini dikenali sebagai System Settings dan ia menerima rekaan semula baharu bagi menyelaraskannya dengan tetapan di dalam iPhone dan iPad.
Kemaskini baharu iOS 16.1
Untuk iOS 16 pula, ia kini menawarkan ciri perkongsian pustaka foto menerusi iCloud. Selain itu, ia juga kini menawarkan fungsi pengecasan tenaga lestari yang mengoptimumkan tempoh pengecasan iPhone.
Fungsi pengecasan tersebut, bagaimanapun hanya terhad di Amerika Syarikat sahaja. Ia hanya boleh digunakan apabila sumber bekalan elektrik yang digunakan datangnya dari sumber tenaga boleh diperbaharui seperti angin, hidroelektrik dan sebagainya.
Apple Fitness+ pula kini boleh didapati pada iPhone tanpa anda perlu memiliki Apple Watch. Turut ditambahbaik pada versi iOS ini, ikon hayat bateri yang ditambahbaik, sokongan aplikasi pihak ketiga untuk Live Activities, dan juga pembaikan untuk keizinan salin dan tampal antara aplikasi.