Apple baru-baru ini telah melancarkan program pembaikan percuma untuk model-model iPhone 11 yang mempunyai masalah pada tahap responsif sesentuh paparannya. Program ini turut melibatkan pengguna-pengguna iPhone 11 di Malaysia yang terkesan.

Menurut Apple, masalah ini terdapat pada sebilangan unit-unit iPhone 11 yang dihasilkan di antara November 2019 sehingga Mei 2020. Paparan pada peranti yang terkesan akan berhenti memberikan respon pada input sentuhan berikutan masalah perkakasan pada modul paparannya.

Bagi pengguna yang mengalami masalah berkenaan boleh mendapatkan bantuan pembaikan melalui program ini secara percuma. Pengguna berkenaan boleh mengunjungi laman web rasmi program dengan memasukkan nombor siri iPhone 11 tersebut.

Sebaik disahkan, pengguna dikehendaki melakukan sandaran (backup) untuk unit berkenaan dan membuat set semula aturan pengilangan sebelum menghantarkannya ke Penyedia Perkhidmatan yang dilantik Apple untuk pembaikan percuma tersebut.

Jika unit iPhone 11 berkenaan didapati mempunyai kerosakan fizikal pada paparannya, Apple meminta pengguna membaikinya terlebih dahulu sebelum menghantarnya ke program tersebut. Kos pembaikan kerosakan fizikal pada paparan tersebut ditanggung sepenuhnya oleh pengguna.

Berbalik kepada program pembaikan percuma masalah responsif sesentuh paparan iPhone 11 tadi, Apple menyatakan pihaknya akan memberi jaminan sehingga dua tahun selepas peranti tersebut dihantar untuk dibaiki. Bagaimanapun, jaminan ini tidak melanjutkan tempoh jaminan standard peranti yang terlibat.

Hubungi pihak Apple melalui pautan ini jika iPhone 11 anda mengalami masalah yang berkenaan.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.