Apple kini sedang berdepan cabaran dan sedang berusaha memindahkan produksinya keluar dari China. Mogok di kilang Foxconn di Zhengzhou dan perintah kawalan pergerakan akibat wabak pandemik COVID-19 telah memberikan kesan terhadap kapasiti pengeluaran kilang-kilang di China.
Atas sebab itu, Apple berhasrat untuk memindakan pengeluaran produk-produknya ke negara lain. Bagaimanapun ia mungkin mengambil masa hingga lapan tahun untuk memindahkan sekurang-kurangnya 10% produksi keluar dari China.
Syarikat dari Cupertino ini sedang membuka fasiliti pengeluarannya di Vietnam dan India. Namun, lebih banyak perlu dilakukan untuk memastikan pemindahan ini tidak menjejaskan kapasiti pengeluaran yang disasarkan.
Cabaran utama adalah Pengenalan Produk Baru (New Product Introduction, NPI), proses di mana Apple bekerjasama dengan kontraktor untuk mewujudkan rancangan pengeluaran.
Di China, NPI dapat dilakukan dengan mudah hasil dari rangkaian pembekal dan jurutera pengeluaran yang mapan. Pun begitu, dalam keadaan sukar mendapatkan tenaga kerja mahir baharu dan keadaan ekonomi yang lembap, Apple berdepan jalan sukar untuk melaksanakan pemindahan ini di negara-negara selain dari China.
Walau bagaimanapun, matlamat jangka panjang Apple adalah untuk menghasilkan 40%-45% iPhone dari India, lebih banyak dari sedia ada yang hanya beberapa peratus. Vietnam pula dijangka akan mengeluarkan lebih banyak AirPods, Apple Watches, dan model MacBook.