Samsung Display dilaporkan telah membuat pesanan untuk mendapatkan mesin-mesin bagi kilang pengeluaran TV 8K dan monitor beresolusi tinggi yang menggunakan panel skrin QD-OLED.
Mesin tersebut dihasilkan oleh pengeluar peralatan dakwat jet industri Amerika Syarikat, Kateeva dan mampu digunakan bagi tujuan produksi berkapasiti besar untuk TV 8K dan monitor beresolusi tinggi.
Samsung Display merupakan satu-satunya pengeluar panel skrin QD-OLED di pasaran pada ketikan ini. Dijangkakan pengumuman untuk mempertontonkan paparan 8K menggunakan teknologi skrin berkenaan akan dibuat di dalam acara CES 2023.
Panel skrin QD-OLED menggunakan lapisan dot kuantum bukannya penapis warna bagi membolehkan kecerahan puncak yang lebih tinggi, di samping menghasilkan kualiti paparan yang lebih baik berbanding model OLED biasa.
QD-OLED merupakan sejenis teknologi skrin yang dijangka akan menjadi popular di masa hadapan. Ia dijangka akan digunakan dalam pengeluaran TV 8K dan monitor beresolusi tinggi tidak lama lagi.
Walau bagaimanapun, TV yang menggunakan teknologi ini dijangka akan dijual pada harga yang sangat mahal. Undang-undang Kesatuan Eropah juga menyekat penjualan TV 8K di Eropah dalam kuantiti besar.
Kemungkinan Samsung akan memberikan lebih tumpuan kepada pembuatan monitor beresolusi tinggi bagi mengatasi kekurangan tersebut. Monitor 4K pertama dengan teknologi QD-OLED dijangka akan hadir dalam masa yang terdekat ini.