Apple ‘dalam diam-diam’ akan menaikkan harga penggantian bateri iPhone bermula pada 1 Mac 2023. Kenaikan kadar lebih dari RM100 ini turut melibatkan model-model iPhone yang sudah lagi tidak termasuk di dalam waranti.
Menurut halaman penggantian bateri untuk di laman web rasminya bagi pasaran Amerika Syarikat, Singapura, Thailand dan Jerman, Apple akan menaikkan bayaran khidmat penggantian bateri masing-masing pada kadar USD 20 (~RM88), SGD 30 (~RM98), THB 890 (~RM114) dan EUR 24 (~RM112).
Perubahan harga ini bagaimanapun masih lagi belum ditunjukkan di dalam laman web rasmi Apple Malaysia memandangkan Apple Store rasmi masih lagi belum dibuka di Malaysia. Berdasarkan perkembangan semasa di peringkat global, kenaikan harga dijangka akan berlaku juga di Malaysia tidak lama lagi.
Jika kita melihat laman penyedia perkhidmatan Apple yang sah di Malaysia, Machines menunjukkan kos penggantian bateri adalah sebanyak RM199 bagi model-model berikut:
- iPhone SE (1st Gen)
- iPhone SE (2nd Gen)
- iPhone SE (3rd Gen)
- iPhone 6
- iPhone 6s
- iPhone 7
- iPhone 7 Plus
- iPhone 8
- iPhone 8 Plus
Bagi model-model ini pula, kos menggantikan baterinya adalah RM379:
- iPhone X
- iPhone XS
- iPhone XS Max
- iPhone XR
- iPhone 11
- iPhone 11 Pro
- iPhone 11 Pro Max
- iPhone 12 mini
- iPhone 12
- iPhone 12 Pro
- iPhone 12 Pro Max
- iPhone 13 mini
- iPhone 13
- iPhone 13 Pro
- iPhone 13 Pro Max
Siri iPhone 14 yang lebih terkini meliputi iPhone 14, 14 Plus, 14 Pro dan 14 Pro Max, pula adalah yang paling mahal iaitu RM549 untuk menggantikan baterinya.
Bagi pengguna yang mendapati bateri iPhone anda cepat habis, kemungkinan besar anda perlu menggantikannya segera sebelum kenaikan harga tersebut dikuatkuasakan.
Anda boleh membuat semakan status kesihatan bateri anda dengan pergi ke Settings > Battery > Battery Health & Charging.
Menurut Apple, bateri yang normal direka supaya mampu menahan sehingga 80% dari kapasiti asalnya pada 500 kali kitara pengecasan yang lengkap dalam keadaan pengoperasi normal. Jika iPhone berkenaan mempunyai masalah bateri, ia mampu menjejaskan prestasi keseluruhannya.
Anda boleh membuat semakan sama ada iPhone anda masih lagi dibawah waranti dengan pergi ke Settings > About, dan seterusnya anda akan dapat melihat sama ada ia memaparkan “Limited Warranty” atau “Coverage Expired”.