Utama Komputer Apple Perkhidmatan Langganan Permainan untuk pelbagai peranti, Apple Arcade diumumkan

Perkhidmatan Langganan Permainan untuk pelbagai peranti, Apple Arcade diumumkan

663
0

Apple baru sahaja mengumumkan pelbagai perkhidmatan terbarunya di dalam sebuah acara khas di Cupertino, termasuklah perkhidmatan langganan permainan terbarunya, Apple Arcade.

Sebagai permulaan, Apple akan memilih sendiri pembangun-pembangun untuk judul permainan di dalam Apple Arcade dan akan bekerjasama rapat dengannya selain turut menyuntik sebahagian dana untuk pembangunannya. Menurut Apple, sebanyak lebih dari 100 judul akan diterbitkan secara eksklusif melalui Apple Arcade.

Oleh kerana perkhidmatan ini merupakan perkhidmatan langganan, Apple mengesahkan ianya bebas dari sebarang bentuk penyiaran iklan. Selain itu, Apple turut menjanjikan lebih privasi dengan tiada penjejakan iklan di dalamnya selain setiap pelanggan boleh berkongsikan perkhidmatan ini dengan maksimum enam orang untuk satu keluarga.

Judul-judul Apple Arcade juga boleh dinikmati melalui iPhone, iPad, Mac, dan Apple TV. Selain dari sokongan bermain secara offline, pemain-pemain juga boleh menyambung permainan masing-masing dari satu peranti ke peranti yang lain.

Bakal disediakan di lebih 150 buah negara, pengguna boleh mengakses ke judul-judul Apple Arcade melalui tab yang didedikasikan yang akan hadir ke App Store di iOS, macOS, dan tvOS. Bagaimanapun, Apple tidak menyatakan harga langganan untuk perkhidmatan penstriman permainan ini.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.