Microsoft akan menamatkan sokongan terhadap sistem operasi Windows 7 bermula 15 Januari 2020 ini. Selepas tarikh berkenaan, tiada lagi sebarang bentuk sokongan dari segi muat turun kemaskini dan pembaikan akan disediakan untuk Windows 7.
Dalam pada masa yang sama, Microsoft juga akan mula memberhentikan perkhidmatan-perkhidmatan sokongan Windows 7 yang penting – termasuk sokongan untuk permainan seperti Internet Backgammon dan Internet Checkers.
Walaubagaimanapun, ketiadaan sokongan rasmi dari Microsoft untuk Windows 7 ini telah mendatangkan kebimbangan terhadap sebahagian kumpulan pengguna sistem operasi ini. Sesetengah pengguna masih lagi bergantung dengan Windows 7 atas beberapa faktor seperti di antaranya kos menaik taraf dan juga penggunaan perkakasan yang lapuk.
Sungguhpun tidak lagi menerima sokongan kemaskini, PC-PC yang menggunakan Windows 7 masih lagi boleh beroperasi seperti biasa selepas 15 Januari 2020. Cumanya, ianya lebih berisiko untuk terdedah dari segi ancaman-ancaman siber kerana tiada pembaharuan dan penambahbaikan terkini pada ciri keselamatannya.
Langkah keselamatan yang boleh diambil untuk pengguna yang setia dengan Windows 7
Sesetengah isu keselamatan ini mungkin hanya masalah kecil dan mampu di atasi oleh sebahagian pengguna asalkan mempunyai common sense yang bagus. Misalnya, pengguna Windows 7 boleh merendahkan risiko jangkitan virus dengan tidak mengunjungi laman-laman web yang meragukan seperti laman memuat turun kandungan cetak rompak dan lucah.
Pengguna-pengguna Windows 7 juga boleh melakukan beberapa langkah komprehensif berikut bagi meningkatkan tahap keselamatan PC masing-masing:
- Menggunakan router yang masih lagi menerima kemaskini firmware dari pengeluarnya. Contohnya router yang berusia kurang dari 6 tahun. Pastikan firmware router berkenaan sentiasa dikemaskini ke versi terkini.
- Kurangkan penggunaan akaun ‘Administrator’ untuk tugas-tugas harian dan gunakan akaun standard untuk kegunaan harian. Gunakan akaun ‘Administrator’ hanya apabila ingin melakukan perubahan konfigurasi yang penting sahaja dan kembali semula ke akaun standard selepas perubahan konfigurasi selesai dilakukan.
- Gunakan antivirus yang masih lagi menawarkan kemaskini selepas tarikh tamat sokongan Windows 7 dari Microsoft. Anda mungkin boleh mencuba dengan perisian .
- Jalankan rutin imbasan malware dengan perisian anti-malware dan pastikan perisian berkenaan sentiasa dikemaskini.
- Pastikan BIOS sistem komputer anda dikemaskini ke versi yang paling terkini.
- Fungsi-fungsi keselamatan kritikal Windows 7 (seperti Windows Firewall) juga perlu sentiasa dihidupkan.
- Aplikasi dan fungsi-fungsi lama yang tidak diperlukan lagi seperti Java, Adobe Flash Player, Quicktime, Shockwave Player, toolbar Internet Explorer dan sebagainya boleh dibuang bagi merendahkan risiko serangan.
- Jangan memuat turun fail meragukan sumbernya yang dihantar melalui emel dan semak fail-fail yang anda akan memuat turun apabila melayari laman web.
- Pastikan anda sentiasa membuat ‘backup’ untuk fail-fail di dalam komputer Windows 7 anda, dan..
- Paling penting! Jangan gunakan Internet Explorer!
Apa pun, walau apa jua sistem operasi yang anda gunakan, langkah-langkah keselamatan dari ancaman siber sentiasa perlu dititik beratkan. Hal ini kerana tiada sebarang sistem operasi di dunia ini yang 100% kebal dari segala bentuk ancaman.
Mencegah adalah lebih baik dari mengubati.