Utama Komputer Adakah Komputer anda dijangkiti Virus? Ini cara untuk anda buat semakan sendiri

Adakah Komputer anda dijangkiti Virus? Ini cara untuk anda buat semakan sendiri

4904
0

Komputer-komputer Windows adakalanya boleh dijangkiti dengan virus dan malware. Tetapi tidak semestinya komputer yang menjadi lembab atau berkelakuan aneh berpunca dari jangkitan anasir-anasir jahat.

Berikut adalah cara untuk anda membuat semakan sama ada komputer anda dijangkiti virus atau sekadar sesuatu proses yang memakan sumber perkomputeran yang terlalu tinggi.

Apakah tanda-tanda Komputer dijangkiti Virus?

Kemerosotan prestasi, aplikasi tergendala atau sesebuah komputer itu tidak memberi sebarang respon menunjukkan kemungkinan ianya telah dijangkiti virus atau malware. Namun, ianya tidak semestinya menjadi satu-satunya punca mengapa komputer menjadi lembab. Terdapat banyak lagi punca yang menyebabkan ianya mengalami kemerosotan prestasi.

Begitu juga jika komputer anda kelihatan ‘sihat’ dan tidak menunjukkan sebarang tanda, tidak semestinya komputer anda tidak dijangkiti dengan virus atau malware.

Hal ini kerana virus masa kini tidak lagi bertindak seperti virus 10 tahun dahulu yang cepat menyerang sebaik sahaja menjangkiti sesebuah komputer. Virus dan malware masa kini semakin banyak yang menyerang secara sembunyi-sembunyi dan kadangkala ada sudah ‘menumpang’ berbulan-bulan sebelum mula menyerang sistem yang dihuninya.

Cara terbaik untuk mengenalpasti sama ada komputer anda dijangkiti dengan perisian-perisian hasad adalah dengan memerhati dan memeriksa sesuatu proses yang anda curigai.

Cara membuat semakan sesebuah Proses itu adalah Virus atau bukan

Anda mungkin pernah rasa komputer anda dijangkiti virus kerana anda pernah terlihat satu proses yang dicurigai melalui Windows Task Manager. Cara untuk membuka Task Manager adalah dengan menekan kekunci Ctrl+Shift+Esc secara serentak atau melalui klik kanan pada taskbar Windows dan pilih “Task Manager.”

Sebaik dibuka, anda mungkin boleh klik pada “More Details” untuk melihat dengan lebih terperinci jika Task Manager anda menunjukkan senarai proses-proses yang telah diringkaskan. Task Manager pada kebiasaannya menyenaraikan pelbagai jenis program yang dijalankan pada ketika itu termasuk program-program yang dijalankan secara latar. Ia bergantung dengan seberapa banyak aplikasi yang anda pasang dan juga dari aplikasi yang telah sedia dipasangkan pengeluar komputer.

Berbalik kepada perisian hasad tadi, sesetengah malware mula menimbulkan kekacauan di dalam PC pengguna apabila ianya menggunakan kuasa pemprosesan yang tinggi, kapasiti RAM yang tinggi dan juga storan dalaman yang banyak. Jika anda ingin ambil tahu sama ada satu-satu program itu bersifat hasad, anda boleh klik kanan pada Task Manager dan pilih “Search Online” untuk mencari lebih maklumat berkenaannya. Untuk pengguna Windows 7, anda mungkin perlu mendapatkan maklumat lanjut tentang program berkenaan melalui enjin carian seperti Google misalnya.

Jika maklumat mengenai malware muncul apabila anda membuat carian, ia merupakan salah satu tanda kemungkinan anda dijangkiti virus atau malware. Bagaimanapun, anda juga tidak boleh cepat merasakan komputer anda bebas virus atau malware hanya kerana proses yang sedang berjalan kelihatan tidak merbahaya dan dipercayai. Sesetengah malware atau virus mampu menunjukkan sesebuah proses yang dijalankannya sebagai “Google Chrome” atau “chrome.exe,” tetapi ianya dapat dibezakan apabila ianya dioperasikan di dalam folder lain di dalam sistem komputer anda. Jika anda pasti PC anda dijangkiti malware, sebaiknya anda perlu menjalankan imbasan perisian anti-malware.

Cara mengimbas dan membuang Virus di dalam Komputer

Secara default, Windows 10 akan sentiasa membuat imbasan PC anda melalui aplikasi Windows Security yang sedia terintegrasi untuk mencari sebarang malware. Aplikasi yang dulunya dikenali sebagai Windows Defender ini turut membenarkan pengguna melakukan imbasan secara manual.

Pada Windows 10, buka menu Start dan taipkan “Security”. Seterusnya klik pada pautan pintas “Windows Security” untuk membukanya. Selain dari cara tadi, anda juga boleh membuka aplikasi berkenaan dengan cara pergi ke Settings > Update & Security > Windows Security > Buka Windows Security.

Untuk melakukan imbasan anti-malware, klik pada “Virus & threat protection.”

Klik pada “Quick Scan” untuk membuat imbasan carian malware pada PC anda. Windows Security akan melakukan imbasan dan akan memaklumkan kepada anda mengenai keputusannya. Jika terdapat malware diketemukan, aplikasi berkenaan akan menawarkan untuk membuangnya secara automatik.

Bagaimanapun, jika anda masih lagi berasa sangsi dengan keupayaan aplikasi Windows Security ini, anda mungkin boleh cuba menggunakan perisian Malwarebytes.

Perisian Malwarebytes ini boleh digandingkan dengan Windows Security bagi memberikan benteng perlindungan malware yang ampuh. Perisian ini menawarkan versi percuma dan berbayar.

Beza antara perisian Malwarebytes versi berbayar dengan percuma adalah fungsi-fungsi yang ditawarkannya. Versi berbayar menawarkan fungsi perlindungan masa nyata disamping fungsi membuang malware yang diketemukan tanpa had penggunaan. Manakala versi percumanya pula, ia menawarkan fungsi imbasan secara manual dengan fungsi pembersihan yang terhad. Walaubagaimanapun, bagi anda yang sekadar ingin membuat imbasan malware sahaja pada PC anda, versi percuma sudah memadai.

 

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.