Nama Samsung Galaxy Z Flip berkemungkinan besar bakal digunakan pada peranti Galaxy Fold 2. Sebelum ini, telefon pintar boleh lipat keluaran Samsung ini dilaporkan menggunakan nama seperti Galaxy Fold 2 dan juga Galaxy Boom pada CES 2020 baru-baru ini.
Pentiris maklumat tegar, Ice Universe baru-baru ini telah membuat satu hantaran di Twitter mengenai nama Samsung Galaxy Z Flip. Nama barisan peranti Z ini bukanlah sesuatu yang baru buat Samsung.
Engadget pernah melaporkan huruf Z ini pernah digunakan untuk menamakan barisan peranti-peranti keluaran Samsung yang menggunakan sistem operasi Tizen OS. Bezanya, telefon keluaran Samsung pada masa itu dikenali sebagai Samsung Z sahaja dan bukannya Samsung Galaxy Z Flip.
Galaxy Z Flip pic.twitter.com/WKA5mpICVE
— Ice universe (@UniverseIce) January 12, 2020
Dijangkakan mungkin lebih banyak desas-desus mengenai nama yang bakal digunakan untuk telefon pintar boleh lipat keluaran Samsung ini bakal muncul dalam masa yang terdekat ini. Setakat ini tiada maklumat baru muncul mengenai spesifikasi perkakasan untuk telefon pintar ini. Apa yang diketahui, ianya mungkin menggunakan cipset Qualcomm Snapdragon 855 dan kamera hadapan 10MP.
Telefon pintar ini dijangkakan bakal dilancarkan secara rasminya di dalam acara Samsung Unpacked pada tahun ini.
Sumber berita diperoleh dari Slashgear