Lebih kurang seminggu yang lepas, T-Mobile dan SpaceX telah mengumumkan usahasama bagi membolehkan telefon pintar disambungkan secara terus ke satelit. Ini akan disokong oleh satelit Starlink V2 yang akan datang dan boleh digunakan pada telefon sedia ada melalui penggunaan jalur sedia ada di dalam spektrum PCS.
Naib Presiden Kanan Platform dan Ekosistem Google Hiroshi Lockheimer mengumumkan di Twitter pihaknya kini sedang mengusahakan sokongan komunikasi satelit melalui Android versi berikutnya, 14.
Sungguhpun perkakasan radio sedia ada pada telefon sekarang mampu melaksanakannya, tidak dapat dipastikan apakah yang diperlukan oleh kemaskini perisian berkenaan. Malah, tidak diketahui sama ada telefon dengan Android 13 juga mampu menggunakannya.
T-Mobile dan SpaceX dijangka memulakan ujian beta satelit baharunya pada hujung 2023, hampir sama waktu pelancaran Android 14. Untuk peringkat awal, liputan tersebut akan diperkenalkan bagi pengguna di Amerika Syarikat sebelum memperluaskannya kepada pengguna-pengguna lain di seluruh dunia.
Kelajuannya adalah perlahan sekitar 2 hingga 4Mbps namun masih mampu menyokong hingga ratusan ribu mesej berteks seperti SMS dan MMS. Sokongan untuk panggilan bersuara dan data mudah alih juga akan ditambah kemudian dengan lebar jalurnya dijangka mampu menyokong sekitar 1-2,000 panggilan suara. Berguna ketika kecemasan dan juga di kawasan-kawasan terpencil.
Selain itu, Android 14 kelak akan menamatkan sokongan untuk Android Beam. Ia mula diabaikan sejak dari Android 10 dan hanya dikekalkan untuk beberapa tahun lagi selepas itu untuk kegunaan beberapa pengeluar telefon Android yang masih ingin menggunakannya. Pada versi 14 kelak ciri berkenaan akan dibuang dan akan digantikan Nearby Share.
Bagaimanapun, ciri pemindahan data tersebut tidak termasuk di dalam AOSP dan sesetengah pengeluar peranti Android tidak dapat melihat manfaat daripadanya. Malah, beberapa pengeluar utama Android juga telah menyertai Mutual Transfer Alliance yang direka sebagai alternatif kepada kaedah pemindahan data setempat.