Bermula dari hari ini 1 Januari 2025, anda sebagai penduduk di Malaysia boleh membuat semakan nombor pengenalan cukai (tax identification number, TIN) secara dalam talian. Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyediakan perkhidmatan carian TIN, selaras dengan pengumuman yang dibuat ketika sesi pembentangan Belanjawan 2025 baru-baru ini.
Untuk melakukan carian TIN anda secara dalam talian, anda boleh mengunjungi Portal MyTax. Seterusnya, pilih “Individu” atau “Selain Individu” dan kemudian pilih “No. Kad Pengenalan” (atau “No Passport” jika anda perantau yang bekerja di Malaysia).
Selepas itu, masukkan maklumat yang berkaitan dan klik pada “Cari”. Anda kini boleh melihat TIN anda untuk disalin dan ditampal pada perkhidmatan e-filing MyTax yang berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, anda kini boleh mengemukakan Penyata Bayaran Seksyen 107D secara elektronik (e-107D) yang diwajibkan bermula pada hari ini. Pembayaran potongan cukai seksyen 107D perlu dibuat secara elektronik dengan menggunakan nombor bil dan melalui kaedah ByrHASiL atau pertukaran proses kewangan (FPX) menerusi pautan ByrHASiL.