ShopeePay telah mendedahkan hampir setengah juta belia telah membuat penebusan kredit eBelia RM 150 dalam masa satu hari menerusi platform berkenaan.
Bermula dari 1 Jun 2021 lalu, seramai 2 juta belia yang layak boleh membuat tuntutan kredit eWallet eBelia di salah satu dari 4 platform eWallet yang menyertai program ini. Keempat-empat platform berkenaan adalah BigPay, Boost, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet.
Pihak kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM 300 juta kepada eBelia bagi mempromosi pembayaran nirtunai di kalangan para belia. Belia yang layak adalah yang berusia 18 hingga 20 tahun atau yang sedang mengikuti pengajian sepenuh masa di institut pengajian tinggi. Penebusan boleh dibuat sehingga 22 Julai 2021 dan kredit tersebut perlu dihabiskan sebelum 31 Julai 2021.
Selain kredit eWallet RM 150, ShopeePay juga memberikan tawaran percuma kepada belia yang membuat tuntutan melalui platformnya.
Untuk maklumat lanjut, kunjungi halaman eBelia ShopeePay.