Beberapa bulan yang lalu, Pengurus Wilayah Xiaomi untuk Malaysia dan Singapura, Encik Nicholas Shi telah menyatakan pihaknya bakal melancarkan lebih banyak produk ekosistem Xiaomi di Malaysia dalam masa yang terdekat.
Salah satu produk berkenaan, Mi Curved Gaming Monitor 34-inci yang akan dilancarkan pada bulan ini. Produk ini akan dilancarkan bersekali dengan Mi Portable Photo Printer sebagaimana yang dinyatakan di dalam laman Facebook rasmi Xiaomi Malaysia.
Mi Curved Gaming Monitor pertama kali dilancarkan di China pada Oktober 2019. Turut dikenali sebagai Mi Surface Display monitor ini dilengkapkan dengan panel 144Hz WQHD (3440 x 1440) yang mempunyai masa respon 4ms, serta menyokong teknologi AMD FreeSync.
Ketika dilancarkan, monitor ini dijual pada harga RMB 2499 (~RM 1508). Hampir setahun selepas dilancarkan, harganya telah turun kepada RMB 2199 (~RM 1327) seperti yang tertera di laman rasmi Xiaomi China.
Setakat ini masih belum ada pengumuman rasmi berkenaan harga jualannya di Malaysia.