Utama Internet Rekod Dunia Kelajuan Internet yang terbaru adalah 178,000 Gbps

Rekod Dunia Kelajuan Internet yang terbaru adalah 178,000 Gbps

805
0

Pasukan penyelidik di University College London (UCL) baru-baru ini telah memecah rekod dunia terbaru dalam kelajuan internet terpantas.

Melalui kolaborasi dengan Xtera dan KDDI Research, usaha ini diketuai oleh Dr Lidia Galdino, Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik UCL. Beliau juga merupakan felo Akademi Penyelidikan Kejuruteraan Diraja.

Kelajuan pemindahan data yang berjaya dicapai oleh pasukan penyelidik UCL ini mencecah 178 Terabits per saat (Tbps), bersamaan 178,000 Gigabits per saat (Gbps). Sebagai perbandingan, kelajuan ini adalah 2 juta kali ganda dari kelajuan muat turun purata talian tetap jalur lebari di Malaysia pada Julai 2020.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh UCL, pasukan penyelidik universiti berkenaan mampu mencapai kelajuan tersebut dengan memancarkan data menggunakan lebar jalur yang lebih besar dari apa yang terdapat pada gentian optik biasa.

Secara perbandingan, para penyelidik dapat memanfaatkan lebar jalur 16.8THz, jauh lebih tinggi dari julat lazim iaitu 4.5 hingga 9THz.

Apa yang menarik, pihak UCL menyatakan bahawa teknik ini boleh digunapakai pada infrastruktur sedia ada dengan meningkatkan keupayaan penguat (amplifier) dalam laluan gentian optik pada setiap jarak antara 40 hinnga 100km. Malah, kaedah ini jauh lebih rendah kos pelaksanaannya berbanding memasang gentian optik baru.

Bagaimanapun, keputusan di dalam makmal tidak semestinya akan sama jika diuji di persekitaran sebenar kerana perlu mengambil kira pelbagai faktor lain. Apa pun, perkembangan ini adalah sesuatu yang patut diraikan kerana ini merupakan salah satu usaha kita menguji tahap tertinggi yang dicapai sesebuah teknologi.

Imej pengatas dari Brett Sayles [Pexels]

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.