Home Mobile Android Xiaomi Lancarkan MIUI 12; Hadir ke telefon terpilih, lewat Jun ini

Xiaomi Lancarkan MIUI 12; Hadir ke telefon terpilih, lewat Jun ini

46
0

Xiaomi telah memperkenalkan versi terbaru antaramuka Android 10 tersuainya, MIUI 12 melalui siaran penstriman langsung global semalam.

Kemaskini antaramuka terbaru ini memperkenalkan beberapa fungsi dan ciri terbaru. Antaranya termasuklah rekaan UI bernafas baru, tetingkap apung, penjimat bateri ultra, peningkatan ciri keselamatan dan sebagainya.

Menurut Xiaomi, MIUI 12 akan lebih lancar dan kelihatan segar melalui animasi yang lebih baik ketika dibuka, ditutup dan menukar aplikasi. Ianya mampu dilaksanakan dengan kemasukan enjin fizik terbarunya.

Tetingkap apung untuk berbilang tugas turut dimasukkan ke dalam kemaskini terbaru ini. Ianya membolehkan pengguna-pengguna untuk meminimakan chat, video atau pelayar web ke tetingkap yang lebih kecil yang boleh digerakkan ke sana ke sini.

Super Wallpaper merupakan satu lagi ciri penambahan yang ditawarkan. Gambar latar beresolusi tinggi Bumi dan Marikh akan dianimasikan apabila pengguna berinteraksi dengan skrin. Fungsi Weather (Cuaca) terbaru juga menawarkan live wallpaper ini dan akan menukarkan latar belakang berdasarkan keadaan cuaca setempat semasa.

Perubahan terbesar yang dibawakan oleh kemaskini ini fungsi App Drawer. Fungsi ini agak lama tidak terdapat pada telefon Xiaomi. Sekembaliannya aplikasi ini mampu memberikan pilihan kepada pengguna untuk mentadbir urus aplikasi yang jarang digunakan. Pengguna Mi kini dengan kemaskini ini boleh memilih untuk mengaktifkan fungsi App Drawer ini jika inginkan ikon-ikon aplikasi lebih terurus.

MIUI 12 juga memperkenalkan mod Ultra Battery Saving yang membenarkan penggunaan yang lebih lama di saat kapasiti bateri di paras rendah. Fungsi ini dilaksanakan dengan melumpuhkan beberapa aplikasi tinggi penggunaan bateri, mematikan animasi dan juga mengaktifkan Dark Mode sepanjang dalam keadaan penjimatan tersebut.

Sisi Gelap

Dark Mode pada kemaskini ini juga turut ditambah baik. Selain dari memberikan antara muka utama menjadi gelap, mod ini juga turut diaktifkan pada aplikasi-aplikasi lain, termasuk yang tidak mempunyai mod gelap.

Ciri keselamatan turut dipertingkatkan di dalam UI terbaru ini dengan pengguna kini diberikan lebih kelebihan dan fungsi bagi menjamin privasi. Antara muka ini akan memaklumkan kepada pengguna melalui satu ikon di penjuru atas kiri skrin. Paparan tersebut muncul jika kenalan, lokasi, kamera dan mikrofon diakses tanpa pengetahuan pengguna.

Sungguhpun pengenalan ciri keselamatan terbaru ini bukanlah sesuatu yang baru untuk Android 10, MIUI 12 kini membolehkan penggunanya membenarkan aplikasi-aplikasi mengakses sesetengah fungsi hanya apabila aplikasi tersebut digunakan. Ini termasuklah apabila sesebuah aplikasi meminta akses ke mikrofon atau lokasi melalui GPS dan sebagainya. Seterusnya, pengguna boleh membuat keputusan sama ada membenarkannya atau menyekatnya.

Menurut Xiaomi, pusingan pertama kemaskini MIUI 12 akan bermula pada lewat Jun ini dan akan hadir ke lima jenis peranti; Mi 9, Mi 9T, Mi 9T Pro, Redmi K20 dan Redmi K20 Pro. Pusingan kedua pula akan bermula sedikit lewat selepasnya dan akan dimaklumkan melalui media sosial.

Telefon-telefon lain yang disenaraikan untuk menerima kemaskini UI terbaru ini termasuklah Redmi Note untuk siri 7 dan ke atas, siri Mi 10, siri Mi Note 10 dan seluruh telefon POCO.

Xiaomi turut menambah pengujian beta untuk MIUI 12 akan bermula pada minggu hadapan. Pengguna yang berminat boleh memohon melalui laman rasmi media sosial Xiaomi atau melalui bahagian Mi Community di dalam laman web rasminya.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.